Miss Malaysia Bangga Tayang ‘Nasi Lemak’

Share This:

Nasi lemak hidangan kegemaran masyarakat tempatan diterjemahkan dalam bentuk busana, bakal diperagakan di pentas akhir pertandingan Miss Universe 2017, di Las Vegas, pada 26 November ini.

Gaun petang ciptaan pereka fesyen, Brian Khoo itu akan digayakan oleh Miss Universe Malaysia 2017, Samantha Katie James.

Busana itu memberi gambaran hidangan sebungkus nasi lemak yang dilengkapi elemen utama seperti daun pisang, sambal, telur, timun dan ikan bilis.

Khoo berkata, segala perincian diambil kira dan diserlahkan dengan penggunaan material batik, sutera dan manik bagi menghasilkan gaun kebangsaan Miss Universe Malaysia, tahun ini.

“Apabila kami berbincang untuk menghasilkan gaun kebangsaan dan apakah yang melambangkan identiti negara, nasi lemak adalah perkara pertama yang saya fikirkan.

“Seperti tahun sebelum ini kita cuba tampilkan kelainan di samping mahu menghasilkan gaun yang menonjol untuk mendapat perhatian umum.

“Ini adalah hasil buah tangan saya untuk diperagakan pada pentas akhir Miss Universe di Las Vegas,” katanya ketika ditemui selepas sesi pratonton cendera hati dan gaun Miss Universe Malaysia 2017, di sini, hari ini.

Selain gaun kebangsaan, turut dipertontonkan adalah gaun petang yang diinspirasi daripada busana yang pernah digayakan oleh biduanita negara, Puan Sri Saloma.

Gaun ala potongan berkemban dan meleret berwarna merah hati itu digandingkan bersama sarung kaki bertatahkan batu Swarovski menyerlahkan kesempurnaan.


Gaun malam berinspirasikan biduanita Saloma ini bakal digayakan SAMANTHA di Pertandingan Ratu Universe 2017

Pereka yang bertunjangkan rekaan moden ini meletakkan usaha penuhnya terhadap rekaannya kali ini.

Sungguhpun Khoo masih baharu dalam industri fesyen, namun beliau berjaya menghasilkan kedua-dua busana ini dalam tempoh sebulan saja.


SAMANTHA (kiri) mengenakan pakaian bertema nasi lemak rekaan Brian Khoo (kanan).

Sementara itu, Samantha yang bakal mewakili negara ke pertandingan ratu cantik itu berkata, beliau yakin dan berbangga untuk menggayakan busana sentuhan pereka muda itu.

“Saya kagum dengan hasil rekaan Khoo walaupun siapa sangka nasi lemak boleh dijadikan gaun dan bakal dipertontonkan di Las Vegas.

“Secara peribadi saya melakukan pelbagai persiapan untuk ke pentas akhir dan saya yakin mampu meraih kemenangan untuk negara pada tahun ini,” katanya. 


-Berita Harian

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*