#Bajet2018 : NGO Mohon Kerajaan Tubuh Jawatankuasa Khas Pantau Peruntukan Kaum India

Share This:

Sebuah Badan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin hari ini hari ini meminta kerajaan supaya menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas pantau peruntukan untuk kaum India supaya apa yang disediakan dalam Bajet akan sampai kepada kumpulan sasaran dan tidak disalah gunakan.

Presiden PMSP Ramesh Rao berkata ada kejadian sebelum ini beberapa kelompok kaum India di negara ini agak terpinggir daripada menerima peruntukan kerajaan ekoran tindakan sesetengah pihak yang menyalahgunakan dana itu dan digunakan untuk kegunaan lain.

“Perancangan kerajaan untuk memajukan lagi kaum India amat tepat tetapi jika peruntukan berkenaan digunakan secara salah ia tidak akan memberi apa-apa makna kepada rakyat kerana ia tidak akan sampai kepada rakyat untuk digunakan dengan betul.

“Oleh itu, PMSP mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan satu jawatankuas khas memantau penggunaan peruntukan berkenaan supaya ia disalurkan kepada pihak yang betul,” kata Ramesh dalam satu kenyataan hari ini.

Pada pembentangan Bajet 2018 kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan telah mengumumkan beberapa peruntukan penting untuk kaum India dan ia perlu dimanfaatkan memandangkan Najib adalah seorang pemimpin yang amat mengambil berat tentang kaum berkenaan.

“Antaranya, Najib ada mengumumkan peruntukan melalui Tabung Khas Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah sebanyak RM550 juta dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil mendapat RM50 juta daripada peruntukan berkenaan, dan jawatankuasa ini boleh memainkan peranan memantau pengagihannya,” katanya.

Dalam pada itu, Ramesh berkata peruntukan RM50 juta melalui TEKUN untuk Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India juga harus dipantau supaya ia dapat diagihkan kepada mereka yang betul supaya lebih ramai usahawan dapat dilahirkan dari kaum India.

“Paling penting ialah jawatankuasa itu harus memantau peruntukan dana RM500 juta yang disediakan untuk tempoh lima tahun bagi satu skim pinjaman pelaburan khas yang akan ditawarkan kepada 100,000 isi rumah daripada golongan B40 masyarakat India, kerana ia melibatkan peruntukan yang besar,” katanya.

Menurut beliau jawatankuasa itu akan bekerjasama dengan kerajaan untuk memastikan program mempertingkatkan kualiti hidup masyarakat India berjaya dilaksanakan sepenuhnya.

“Apabila kerajaan sudah melakukan sesuatu yang baik untuk kaum India, ia harus dipantau supaya tidak ada pihak akan mengambil kesempatan daripada dana itu untuk diambil dengan cara salah untuk memenuhu kepentingan politik mereka,” kata Ramesh dalam kenyataan itu.

Ramesh berkata proses pengagihan dana itu mesti menyeluruh dan tidak dibuat dengan cara ‘pilih bulu’ di mana sesetengah pihak sahaja yang akan memperolehinya. Ketepikan perbezaan politik dan jangan pinggirkan kumpulan penyokong tertentu.

“Jangan pinggirkan bekas Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel, jangan pinggirkan penyokong BN yang tidak setuju dengan hala tuju parti serta jangan ketepikan penyokong pembangkang sama sekali.

“Kumpulan India yang menyokong Pakatan Harapan akan kembali kepada BN jika peruntukan diagihkan saksama,” kata Ramesh.

Beliau mengakui ada menerima aduan ada langkah ‘double standard’ diamalkan untuk mengagihkan dana untuk kaum India dan itu menyebabkan orang India kecewa dan bepaling tadah dari menyokong BN dan memberikan sokongan kepada parti pembangkang.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*