Pencuci Kereta Ditembak Di Kepala Sempat Hubungi Adik Minta Bantuan

Share This:

 

 

Seorang pencuci kereta sempat menghubungi adiknya untuk meminta bantuan walaupun dalam keadaan kesakitan di bahagian muka dan kepala selepas ditembak.

 

Kejadian dipercayai berlaku di sebuah rumah kongsi di Felda Keratong 2 sekitar jam 12.10 malam semalam.

 

Tambahan lagi,mangsa ditembak seorang lelaki tidak dikenali menggunakan selaras senapang patah.

 

Bagaimanapun, mangsa yang dikenali sebagai Zubir berusia lingkungan 30 tahun itu disahkan meninggal dunia selepas 12 jam mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.

 

Difahamkan, mangsa yang sudah tinggal di negara ini sejak empat tahun lalu meninggal dunia pada jam 12 tengah hari kelmarin akibat kecederaan di muka dan kepala selepas dipercayai terkena dua das tembakan.

 

Sumber berkata, sebelum kejadian, mangsa dipercayai mengalami perselisihan faham dengan isterinya dan pernah menyatakan akan menceraikan wanita itu sebelum bercadang hendak pulang ke Aceh, Indonesia, Sabtu ini.

 

“Ketika perselisihan faham itu, isteri mangsa berada di rumah majikannya di Felda yang sama dan berlaku sedikit pertengkaran sebelum pencuci kereta berkenaan meminta majikannya supaya tidak campur tangan dalam masalahnya,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

 

Menurutnya, sebaik saja pertengkaran itu mangsa kemudian pulang ke rumah kongsi dan sempat memberitahu kepada isterinya `kita lihat siapa yang mati’ sebelum mangsa dihampiri dua lelaki tidak dikenali pada jam 12.10 malam itu.

 

Katanya, mangsa ditembak di muka dan kepala oleh seorang daripada lelaki bersenjatakan senapang patah itu sebelum kedua-dua suspek bergegas melarikan diri dari tempat kejadian.

 

“Mangsa menggagahkan diri menghubungi adiknya yang juga pekerja cuci kereta tinggal di Felda Keratong 3 untuk meminta bantuan sebelum adiknya itu bergegas ke lokasi kejadian untuk melihat keadaan abangnya.

 

“Dia kemudian menghubungi majikan abangnya untuk meminta bantuan menghantar ke Hospital Muadzam Shah (HMS) sebelum mangsa dirujuk HTAA akibat kecederaan teruk di muka dan kepala,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin Deputi Superintendan Azli Mohd Noor ketika dihubungi, di sini, semalam mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

 

“Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 12 tengah hari, semalam ketika sedang mendapatkan rawatan sebelum mayatnya dibawa ke Rumah Mayat HTAA untuk bedah siasat,” katanya.

 

Beliau berkata, polis sudah menjalankan Ops Tutup dan operasi memburu suspek sedang dijalankan.

 

Katanya, kejadian itu akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

 

-PRU14.TV

 

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*