Cukai Luar Pesisir Labuan Disalahgunakan?

Share This:

Kerajaan Malaysia sentiasa menggalakkan pertumbuhan sektor ekonomi terutama melibatkan aktiviti perniagaan, perdagangan luar pesisir, perbankan atau insurans dijalankan melalui insentif percukaian yang diberikan dibawah Akta Penggalakan Pelaburan 1986.

Namun begitu ketirisan cukai yang diberikan keistimewaan ini disalahgunakan dengan terma yang diguna pakai oleh perunding cukai sebagai strategi percukaian syarikat. Ini bagi memutihkan salah laku secara sedar bagi mengelakkan cukai syarikat dibayar lebih tinggi.

Sejak tahun 1991, menerusi Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Luar Pesisir Pantai Labuan 1990 (LOBATA), sebarang aktiviti perniagaan yang tertakluk di dalam kategori aktiviti perdagangan seperti berikut dianggap tertakluk sebagai syarikat perdagangan luar pesisir:

a) Aktiviti Perdagangan Luar Pesisir – termasuk bank, insurans, perdagangan, pengurusan, pengeluaran lesen atau lain-lain aktiviti bukan perdagangan luar pesisir, tidak termasuk operasi perkapalan dan petroleum.

b) Aktiviti Bukan Perdagangan Luar Pesisir – merujuk kepada aktiviti berkaitan dengan pemegangan pelaburan sekuriti, stok, saham, pinjaman, deposit dan harta tak alih oleh syarikat luar pesisir di atas namanya sendiri.

Layanan percukaian ke atas syarikat di bawah LOBATA adalah sangat istimewa. Syarikat ini hanya perlu membayar cukai 3% ke atas keuntungan bersih syarikat yang ditunjukkan di dalam akaun yang telah diaudit atau membayar pada kadar tetap RM20,000 mengikut pemilihan syarikat.

Secara kreatifnya dengan hanya mendaftarkan syarikat perniagaan mereka beralamat di Labuan. Tanpa perlu mempunyai premis atau beroperasi secara fizikal di Labuan, syarikat yang mempunyai pejabat di Kuala Lumpur sebagai contoh dapat menikmati penjimatan cukai syarikat sebanyak 21% (andaian syarikat mempunyai modal berbayar melebihi RM2.5 juta dengan kadar cukai syarikat 24% menurut Tahun Taksiran 2017).

Atas nama “strategi percukaian syarikat” ini juga, syarikat yang berdaftar di bawah LOBATA akan dijadikan sebagai “ibu duit” dalam menjana keuntungan syarikat. Sebagai contoh, sebelum sesuatu produk dipasarkan ke luar negara, syarikat huluan akan menjual produk mereka kepada syarikat pemasaran yang didaftarkan di bawah LOBATA dengan hanya mengambil keuntungan yang sedikit di antara mereka.

Manakala syarikat “ibu duit” ini yang dijadikan syarikat pemasaran akan melakukan transaksi jualan kepada pihak luar dan menikmati keuntungan yang tinggi. Oleh kerana syarikat “ibu duit” ini berdaftar di bawah LOBATA, keuntungan syarikat yang dicukaikan hanyalah 3%.

Disinilah ketirisan kutipan sebanyak 21% ke atas keuntungan syarikat yang sepatutnya dicukai pada kadar yang lebih saksama. Kerajaan melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) digesa untuk menyemak semula Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Luar Pesisir Pantai Labuan 1990 (LOBATA) bagi mengelakkan kerajaan kerugian sumber pendapatan negara yang sebenar.

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*