Terengganu Panggil Pakar FRIM Nilai Pokok Berisiko

Share This:

Terengganu mendapatkan khidmat pakar-pakar daripada Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) bagi menilai langkah-langkah penyelenggaraan yang tepat terhadap pokok-pokok besar di bahu-bahu jalan di seluruh negeri.Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, pakar berkenaan kini bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam menentukan pokok yang berisiko dan berbahaya sebelum sebarang tindakan selanjutnya diambil.

Katanya, memandangkan proses penilaian masih berjalan maka pada peringkat awal ini, kerajaan negeri akan menggiatkan kerja-kerja mencantas bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku di samping meneruskan aktiviti pemantauan dari semasa ke semasa.

“Kita tidak boleh mengambil tindakan drastik sebab pokok-pokok ini banyak menyumbang kebaikan dalam membekalkan oksigen dan kesegaran suasana persekitaran.

“Mereka sudah berada di sini bagi membuat penilaian pokok-pokok yang berada di tepi jalan, dan kalau berbahaya baru kita akan putuskan apa tindakan yang patut dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas beramah mesra dengan para peserta Memasak Asyura Perdana Kuala Nerus 2017 di pekarangan Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pegawai Pembangunan Kuala Nerus, Datuk Basir Ismail dan Pegawai Daerah Kuala Nerus, Datuk Tengku Farouk Husin Tengku Abdul Jalil.

Sebelum ini Ahmad Razif dalam reaksi segera susulan insiden dahan patah yang meragut dua nyawa di Batu Rakit di sini pada 7 Oktober lalu mengarahkan pihak berkuasa tempatan di seluruh negeri menebang semua pokok besar yang dianggap berisiko di pinggir jalan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.10 tengah hari itu, seorang pelajar dan seorang kakitangan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBI) Batu Rakit maut selepas dahan pokok menghempap dua buah kenderaan yang melalui jalan itu.

– Utusan

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*