Misteri Makhluk Putih Selepas Beberapa Hari Kematian

Share This:

Cerita kali ni berkenaan dengan jiran aku (arwah Kak Nor) yang meninggal pada hari-hari terakhir berpantang selepas bersalin.

USIA KANDUNGAN 8 BULAN

Kak Nor? Kak Nor ni jiran aku. Aku dengan sepupu aku Ain memang rapat dengan Kak Nor ni. Dan masa ni Kak Nor mengandung anak keduanya. Dan kebetulan juga Kak Nor dengan kakak aku sama-sama mengandung. Disebabkan aku dah kena duduk rumah kakak aku. Jadinya aku dah jarang menjengah Kak Nor. Cuma cerita berkenaan Kak Nor aku tahu dari mak aku. Kak Nor ni tak ada keluarga. Keluarga suami dia pula jauh nun di Sabah. Kiranya dorang dekat Johor ni sebatang kara la. Mak aku dengan mak Ain je yang paling rapat dengan Kak Nor dan Abang Ijan. Apa-apa masalah, muka mak-mak kitorang ni la yang dicari.

HARI BERSALIN

Kakak aku dimaksudkan ke wad sehari selepas Kak Nor selamat bersalin baby boy. Aku sempat pergi tengok Kak Nor sementara nak menunggu Kak Yati dalam labour room tu. Setelah hampir seharian dalam labour room, kakak aku selamat melahirkan baby boy seberat 4.3kg secara normal. Sekali lagi aku ulang secara normal. Haaa banyak tak banyak la kena jahit kalau dah baby besar macam tu. Tu la pengorbanan seorang ibu.

44 HARI BERPANTANG / MINGGU KEDUA

Waktu ni aku dah balik rumah mak aku sebab mak mertua kakak aku dah datang nak menjaga kakak aku. Bila dah balik rumah mak aku, macam-macam ceritalah yang aku dengar pasal Kak Nor. Rupanya selama tempoh dia lepas bersalin, Kak Nor langsung tak berpantang. Seminggu lepas keluar dari hospital dia dah usung baby pergi shopping mall. Tu belum lagi nak cerita yang dia kesana sini macam orang sihat je. Aku yang dengar terasa ngilu. Ke Kak Nor sebenarnya tak ada rasa sakit langsung? Dan yang paling teruk aku dengar, nurse dari klinik perbidanan datang nak check up dia, dia boleh halau nurse tu balik. Korang rasa???

MINGGU KETIGA

Aku : Mak dah pergi tengok baby Kak Nor?

Mak : Belum. Nak tengok macam mana kalau semua orang dia tak bagi datang rumah.

Aku : Kenapa pulak macam tu?

Mak : Entahlah. Cuba petang-petang karang kau pergi jengah Kak Nor tu. Mana tahu dengan kau dia nak bagi masuk.

Aku : Taknaklah mak. Menakutkan je Kak Nor tu.

Mak : Nak takut apa? Bukan dia makan orang pun. Dulu kau duk bertagan sehari suntuk dekat rumah dia, tak reti takut pulak?

Petang tu aku beranikan diri ke rumah Kak Nor. Entah apa yang aku takutkan sangat pun aku tak tahu. Mungkin sebab perangai pelik Kak Nor tu kut. Selama aku kenal dia, Kak Nor tu orang baik. Dia memang suka ajak orang datang rumah dia. Sebabnya, boleh teman dia berborak. Tapi kalau dah sampai jiran-jiran nak datang melawat pun tak dibagi, memang jadi satu hal yang sangat peliklah.

Berkali-kali aku bagi salam, tapi tak ada orang yang menyahut. Mak aku cakap, dia ada dalam rumah tapi aku tengok pintu rumah bermangga. Aku niat nak patah balik je tapi tak jadi bila aku nampak Dani, anak Kak Nor ada main dekat belakang rumah. Aku terus atur langkah ke belakang rumah. Rupanya pintu belakang tak kunci, cuma pintu depan je.

Aku : Dani, mama mana?

Dani : Dekat dalam.

Aku : Ayah?

Dani : Kerja.

Aku : Baby?

Dani : Dekat dalam.

Aku : Kenapa pintu depan kunci, Dani?

Dani : Ayah yang kunci.

Aku biarkan dulu persoalan dalam kepala otak aku tu. Aku masuk kedalam rumah Kak Nor dari pintu belakang. Aku terus ke ruang tamu bila dengar suara baby menangis. Aku tengok baby dalam buai dan Kak Nor terbaring beralaskan tilam atas lantai. Aku enjut buai sambil aku cuba nak bercakap dengan Kak Nor.

Aku : Kak Nor, baby menangis ni. Nak menyusu agaknya.

Kak Nor : Aku panas. Panas!!! Tolong aku…

Keadaan Kak Nor masa ni agak menakutkan aku. Dia menggelibas serba tak kena duk cakap panas. Sedangkan kipas siling aku tengok dah maksimum kipas lantai pula dah nombor tiga. Takkanlah panas lagi. Aku nak suruh dia susukan baby pun, dalam keadaan dia macam tu memang mustahil la dia nak menyusukan baby. Nasib baik juga aku terpandang susu formula dalam tin yang diletakkan diatas meja penjuru. Masa tu aku bancuh susu ikut sedap tekak aku je sebab aku memang tak pandai. Anak-anak buah aku semuanya tak minum susu formula.

Kak Nor : Aku panas!!!!

Kak Nor tiba-tiba menjerit. Dari gaya dia tengok aku masa tu, macam nak terkam aku je. Aku tak tunggu lama. Aku capai botol susu dengan tin susu dan terus dukung baby bawa balik rumah mak aku.

Aku : Dani, kalau ayah balik. Cakap baby dekat rumah Kak Hani tau.

Dani : Dani takut.

Aku : Takut kenapa?

Dani : Mama macam hantu.

Aku : Ish tak baik cakap macam tu. Mama Dani tak sihat tu. Dani main-main dengan Fizi dulu ea.

Aku terus balik. Mak aku sikit lagi nak menjerit tengok aku dukung baby gaya macam baru lepas culik anak orang.

MINGGU KE EMPAT BERPANTANG

Petang aku bawa lari anak dia tu, dia dikejarkan ke hospital. Malam tu juga dia start koma. Doktor cakap jangkitan kuman dalam paru-paru. Bidan Mak Dara yang tengok Kak Nor sebelum dia ke hospital tu cakap, bentan. Biasalah…. pendapat saintifik dan tradisional jarang seiring.

Empat hari Kak Nor tak sedarkan diri. Masuk hari ke lima dia dah sedar. Sedar dia tu, terus macam orang sihat. Macam tak ada apa-apa penyakit sebelum tu. Abang Ijan yang jaga dia dekat hospital siang malam. Dani, tinggal dekat rumah Mak Nab (mak Fizi). Baby Kak Nor pula aku yang jaga.

Dan kak Nor ni macam tahu-tahu je yang mak aku nak datang melawat dia, tengahari tu dia call mak aku.

Kak Nor : Kak Ros, akak tak datang tengok Nor?

Mak : InsyaaAllah esok akak datang. Hari ni tak dapat, mak mertua Yati nak balik dah.

Kak Nor : Kirim salam Yati. Akak jangan tak datang esok, Nor tunggu akak.

Mak : InsyaaAllah Nor.

Beriya-iya dia suruh mak aku datang tengok dia. Dan petang tu selepas asar, Kak Nor disahkan meninggal dunia. Hampir semua orang macam tak percaya dengan berita tu. Mak aku lagi lah tak percaya. Baru tengahari tu mak aku berbual dengan dia dalam telefon, gaya memang macam dah betul-betul sihat. Suara ceria je. Tahu-tahu petangnya Abang Ijan call mak aku bagitahu yang Kak Nor dah tak ada. Tak ke terperanjat semua orang.

Jenazah diuruskan pihak hospital sepenuhnya. Kami jiran-jiran cuma menunggu dirumah arwah. Rumah dah dibersihkan dan dikemas sementara nak menunggu ketibaan van jenazah. Sesampainya van jenazah, jenazah diusung dibawa masuk kedalam rumah untuk penghormatan kali terakhir. Aku dengan Ain pun tak lepas peluang untuk sedekahkan bacaan Yaasin untuk arwah Kak Nor.

Selesai urusan kami, aku dengan Ain nak berlalu untuk bagi ruang pada jemaah surau pula untuk solat jenazah. Waktu aku baru keluar dari rumah arwah, aku ternampak seekor kucing jantan berjalan kearah penutup keranda (yang bentuk macam rumah) dan terus memancitkan najisnya pada penutup yang disandarkan pada batang pokok kelapa.

Aku cepat-cepat pergi ambil gayung siram bunga Mak Ain dan terus siram penutup keranda tu. Tapi niat murni aku disalahfaham orang pula.

Makcik 1 : Hei..kau buat apa siram penutup keranda tu!

Makcik 2 : Habis basah penutup tu. Buang tebiat agaknya budak ni.

Makcik 3 : Entahnya, tak ada angin tak ada ribut disiram penutup tu.

Bertubi-tubi aku kena sound. Tak sempat nak bela diri. Mak aku yang dengar terus datang cubit aku. Apa salah aku???

Mak : Yang kau tiba-tiba siram penutup tu kenapa? Dah habis kerja?

Aku : Kucing pancit dekat situ. Tu yang Hani siram. Nanti tak pasal-pasal jenazah terkena najis pula kalau biarkan.

Terpinga sekejap makcik-makcik yang sound aku. Dengan mak aku terpinga sekali. Dan kisah kucing dan pancitannya tu jadi buah mulut orang pula. Macam-macam andaian yang keluar.

Selesai je solat jenazah dan jenazah nak dibawa masuk kedalam van. Sekali lagi aku tak tahu adat dan budaya mana yang makcik-makcik ni amalkan. Ada ke patut disuruhnya Abang Ijan, Dani dan baby lalu bawah keranda yang diangkat tinggi sedikit dari aras bahu sebanyak tiga kali. Alasannya, untuk mengelakkan anak-anak teringat-ingat dekat arwah.

SEMINGGU PEMERGIAN

Siang tu kami jiran tetangga gotong royong mengadakan kenduri tahlil setelah genap seminggu pemergian arwah. Dan atas persetujuan Abang Ijan juga, pakaian arwah akan disedekahkan pada orang-orang yang memerlukan. Dan abang Ijan minta jasa baik mak aku, mak Ain dan mak Nab untuk uruskan hal pengagihan pakaian arwah.

Kenduri malam tu diadakan disurau. Abang Ijan ni tak cukup kaki tangan nak menguruskan seorang diri. Mana nak uruskan anak-anak lagi. Nasib jugalah semua urusannya lancar. Dan setiap malam Abang Ijan tidak tidur dirumahnya. Katanya takut nak tidur rumah sendiri. Baby pun masa ni dah dibawa sekali. Aku dah tak jaga baby dah. Tapi itulah silap abang Ijan. Kut ya pun takut janganlah dibiarkan rumah tu gelap gelita. Sekurang-kurangnya on la lampu. Ni rumah dah gaya macam rumah hantu je.

Malam tu, aku dengan Ain nak ke kedai. Laluan utama kami memang dihadapan rumah arwah. Dan sewaktu kami melintas dihadapan rumah arwah. “Mak!!!!!!” macam tak cukup tanah aku lari sambil tarik tangan Ain yang terpinga-pinga tak faham apa yang terjadi.

Mak : Dah kenapa Hani? Terpekik macam nampak hantu.

Ain : Entah cik Ros. Hani ni tiba-tiba je.

Aku : Mak… rumah arwah tu.

Aku : Mak, Hani nampak ada benda putih duduk dekat tepi pintu pagar tu.

Mak : Mengarut je la.

Aku : Iya mak. Hani nampak. Cuba mak pergi tengok.

Mak : Ain? Nampak juga ke?

Ain : Tak. Kau ni ye je ada benda duduk.

Aku : Yelah! Mak tak percaya, jom kita pergi tengok.

Mak : Jom. Kalau tak ada siap kau.

Aku tarik Ain sekali ikut langkah mak aku ke rumah arwah. Selamba je mak aku buka pintu pagar yang tak berkunci tu. Aku tak ikut mak aku sampai depan rumah. Aku berhenti dalam sepuluh langkah dari pintu pagar.

Mak : Mana ada apa-apa. Ni plastik baju arwah ni, mak dah kumpul nak bagi orang.

Aku : Ye mak. Sebelah plastik tu Hani nampak.

Mak : Ni meh sini tengok. Tak ada apa pun.

Aku : Eiii tak nak lah (berdesup aku lari tinggalkan Ain)

Mak aku masa tu aku tak tahulah. Saja buat-buat berani atau memang mak aku tak rasa takut.

Siang esoknya beriya-iya aku cerita dekat mak aku apa yang aku nampak. Siap aku ajak mak aku pergi rumah arwah dan aku tunjukkan dekat mana tempat yang aku nampak benda putih tu duduk. Mak aku mulanya macam percaya dengan tak je cerita aku. Tapi selang dua tiga hari lepas tu. Jiran-jiran yang lain pun bercakap benda yang hampir sama. Contoh macam Mak nab.

Mak Nab ni rumah dia betul-betul bertentangan dengan dapur rumah arwah. Tiap-tiap malam mak Nab dengar riuh dekat dapur tu macam time arwah masih hidup. Tapi Mak Nab mulanya fikir baik je. Perasaan dia je. Dan bila Mak Nab dah dengar cerita aku yang nampak ada benda putih dekat beranda rumah arwah. Makin kuatlah alibi masing-masing.

Tu belum lagi, Si Fizi anak Mak Nab nampak ada orang lalu dekat ruang tamu rumah arwah waktu dia temankan Dani dalam rumah tu. Macam-macam lagilah versi tambahan orang kampung bagi nak menyedapkan cerita.

Dan last-last mak aku cakap. Roh orang meninggal ni akan balik rumah dia untuk tengok ahli keluarga dia dalam masa 40 hari. Makin hari makin jauh, makin jauh sampailah 40 hari. Lepas tu dah tak ada dah. Pendapat mana yang mak aku guna, wallahua’lam. Tapi aku pernah juga terbaca pasal roh yang balik dalam tempoh 40 hari selepas kematiannya. Aku baca dalam buku peristiwa sakaratul maut. Terbitan syarikat mana aku tak ingat, dan buku tu pun aku tak tahu mana mak aku campak. Silap-silap dah selamat kena jual dekat Ah Seng lori surat khabar lama tu.

Bagaimanapun,menurut ustaz tiada dalil yang mengatakan roh akan kembali dalam tempoh 40 hari,tetapi yang wujud ialah mahkluk halus.

-PRU14.TV

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*