Shafie Apdal Akan Ditangkap Kalau Ada Bukti

Share This:

Pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan tetap menahan bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal jika ada bukti dia terlibat dengan penyelewengan dana kebajikan kementerian berkenaan dari tahun 2009 hingga 2015.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, SPRM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya ada bukti yang mengaitkan Ahli Parlimen Semporna itu.

Kini, Mohd Shafie adalah Presiden parti Warisan Sabah (Warisan) selepas umum keluar dari Umno.

“Kita akan panggil sesiapa sahaja yang mempunyai kaitan. Jika ada keperluan, kami akan tangkap,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada Mohd. Shafie bakal ditahan memandangkan pemimpin itu menerajui KKLW ketika penyelewengan itu berlaku.

Minggu lalu, SPRM yang membuka kertas siasatan terhadap Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah mendapati sebanyak RM1.5 bilion diseleweng daripada RM7.5 bilion peruntukan kerajaan yang disalurkan antara 2009 hingga 2015.

Berikutan itu, lebih 10 akaun mengandungi RM179 juta dibekukan dan sehingga hari ini tujuh individu ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 17a Akta SPRM 2009.

Individu terbaharu ditangkap kelmarin ialah Hamid Apdal, 52, iaitu adik Mohd. Shafie kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan akaun yang telah dibekukan.

Enam lagi yang ditahan ialah Naib Presiden Warisan, Datuk Peter Anthony, 46; bekas Timbalan Setiausaha Bahagian Kementerian Luar Bandar dan Wilayah, Norhartarty Rahmat, 40; ahli perniagaan, Yu Sin Kong, 52; Ketua Wira Warisan, Datuk Mohd. Azis Jamman; Ketua Pemuda UMNO Tenom, Jamawi Jaafar dan Ketua Pemuda UMNO Tawau, Ariffin Kassim.

Sementara itu, Dzulkifli berkata pihaknya akan memanggil saksi-saksi lain dalam tempoh terdekat ini bagi membantu siasatan.

“Kita akan panggil semua yang terlibat, termasuk sesiapa yang boleh membantu siasatan kerana isunya kita melihat lebih 70 projek di Sabah melibatkan dana peruntukan RM1.5 bilion diseleweng.

“Ini termasuk akan melakukan tangkapan cuma beri masa kepada SPRM untuk menjalankan siasatan,” katanya.

Mengulas kenyataan Naib Presiden Parti Warisan Sabah Junz Wong bahawa partinya bersedia disiasat SPRM, Dzulkifli berkata siasatan pihaknya bukan berdasarkan parti politik tetapi melihat kepada penglibatan salah guna kuasa dan rasuah terhadap peruntukan daripada kerajaan persekutuan untuk pembangunan luar bandar di Sabah.

“Lihat dari sudut tangkapan bukan anggota Parti Warisan Sabah sahaja yang ditahan. Pendirian siasatan SPRM adalah berdasarkan keterangan yang diperoleh, dan akan diperoleh tanpa melihat sudut penglibatan parti politik kerana isu rasuah dan salah guna kuasa adalah lebih daripada politik,” katanya.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*