Demi Deepavali, Pemimpin Muda MIC Bantu Keluarga Memerlukan Di PD

Share This:

Pihak kepimpinan muda MIC di daerah Port Dickson di Negeri Sembilan tidak ketinggalan dalam beramah-mesra dengan penduduk berbangsa India di sana sempena dengan perayaan Hari Deepavali yang semakin hampir dengan pelbagai program selaras dengan perhatian utama yang diberikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kepada kaum itu.

Semalam, bertempat di Taman PD Utama, Port Dickson satu program diadakan untuk turun padang dan bertemu dengan golongan yang tidak berkemampuan dan berpendapatan rendah di kawasan berkenaan.

Penasihat Putera MIC Teluk Kemang dan Ketua Putera MIC Bahagian Rasah, Dineshwaran T Rajagopalu pada program berkenaan bertemu dengan 70 orang kaum ibu dan wanita dari keluarga yang berpendapatan rendah.

Program berkenaan turut dihadiri oleh Ketua Bahagian MIC Teluk Kemang, Datuk R Balakrishnan, Ahli Majlis Perbandaran PD, Letchumnan, Pengerusi Cawangan MIC Taman PD Utama, Gopal dan Pengerusi Cawangan MIC PD Sivanesan, Ketua Putera MIC Teluk Kemang, Sargunan dan Timbalan Pengerusi Putera MIC Rembau, Ravindran.

“En Gopal bersama-sama dengan pasukannya begitu banyak membantu menghimpunkan kumpulan wanita hebat ini untuk program kami.

“Kami bersama-sama mengagihkan sarapan yang lazat sebelum menyerahkan hadiah istimewa persalinan sari sumbangan Bathumalai Harekrishna dari pihak Harekrishna Textile, yang turut hadir menyokong program kami.

“Untuk meraikan Deepavali ini, mereka turut diberikan sumbangan wang tunai untuk meringankan beban mereka membuat persiapan menyambut Deepavali,” kata Dineshwaran berkenaan program berkenaan semalam.

Menurut beliau, program berkenaan melengkapi kenangan manis sambutan Deepavali beliau setiap tahun apabila berjaya membawa kegembiraan dalam hidup orang lain.

Langkah Dineshwaran memberikan sinar kegembiraan sempena Deepavali kepada kaum India di PD tidak berakhir di situ apabila kemudiannya bersama dengan Pengerusi Persatuan Pembanguna Masyarakat, Mohd Aryan Kailash dan Ahli Jawatankuasa Kampung Gelam, Tuan Haji Osman, pihak melakukan lawatan pula kepada enam keluarga bangsa India yang kurang berkemampuan di Kampung Gelam dan Kampung Air Meleleh di PD.

“Untuk mereka juga, kami berikan mereka sedikit barangan untuk meraikan Deepavali dan mendengar keperluan serta masalah mereka supaya pihak kami akan cuba menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh mereka.

“Ketika kita sibuk dengan persiapan kita meraikan sambutan Deepavali, mereka yang datang dari keluarga yang berpendapatan rendah begitu susah untuk menjalani kehidupan seharian.

“Oleh itu, saya menggesa rakyat Malaysia untuk berusaha membantu memberikan kegembiraan untuk sekurang-kurangnya satu keluarga pada sambutan Deepavali kali ini, dan ia pasti akan memberikan kepuasan dan kegembiraan yang tidak dapat dibeli oleh wang ringgit,” kata Dineshwaran.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*