7 Anggota Polis Yang Berhibur Dengan Tauke Judi Telah Ditukar Jabatan – KP Johor

Share This:

“Seorang pegawai dan 6 anggota polis dari Unit D7 Ibu Pejabat Polis Daerah Muar yang terbabit sudah ditukarkan ke jabatan lain.”


Demikian reaksi Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berhubung sebuah video dalam Facebook yang tular semalam menunjukkan sekumpulan 7 individu didakwa pegawai dan anggota polis sedang berhibur bersama tauke judi haram di sebuah pusat hiburan yang terletak di Pusat Perniagaan Bakri, Muar.


Memetik laporan Bernama, beliau menerusi satu kenyataan berkata, siasatan tatatertib dijalankan sebaik sahaja maklumat berkenaan diterima dan keputusan itu diambil sementara menunggu tindakan susulan.


“Dalam hal ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melihat pelanggaran tatatertib ini tidak boleh dikompromi dan akan mengambil tindakan tegas kepada semua yang terlibat.”


“Semua pegawai dan anggota PDRM mesti akur kepada kehendak integriti dalam memartabatkan PDRM selaku penguat kuasa undang-undang utama negara,” katanya.


Dilaporkan klip itu dimuat naik kurang 2 minggu selepas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendakwa mempunyai bukti seorang pegawai tinggi polis di Johor membantu tauke judi.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*