Warisan Yang Bakal Tidak Berwaris

Share This:

Sesuatu yang harus diakui bahawa penahanan Naib Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Peter Anthony oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, bukan satu perkara yang mengejutkan. Ditambah pula dengan penahanan bekas Timbalan Setiausaha Bahagian Infrastruktur Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Norhartarty Rahmat dan seorang ahli perniagaan, Yu Sin Kong juga tidak mengejutkan.

Ini kerana, sejak beberapa tahun yang lalu, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang dikuasai oleh Datuk Seri Shafie Apdal sememangnya menjadi tumpuan SPRM berikutan aduan yang dikemukakan oleh banyak pihak terutamanya yang tinggal di luar bandar dan di Sabah yang mendakwa, pembangunan di kawasan berkenaan tidak teratur dan ada yang langsung tidak dipedulikan oleh menteri berkenaan.

Ditambah pula dengan pembongkaran satu kes rasuah terbesar di Malaysia yang membabitkan sejumlah lebih RM 120 juta daripada dua pegawai kanan Jabatan Bekalan Air Sabah yang didakwa menyalahgunakan kuasa membabitkan projek infrastruktur bernilai RM3.3 bilion yang diperuntukkan di bawah Kementerian Luar Bandar dan Wilayah, juga menambah rencah rasa yang menghantui bekas Naib Presiden UMNO berkenaan.

Manakan tidak, kesemua tangkapan yang dilakukan oleh SPRM ini membabitkan semua bekas-bekas pegawai yang pernah berkhidmat di bawah beliau dan sudah tentu ada suara-suara nakal yang akan turut mengaitkan Shafie dalam kesemua skandal rasuah berkenaan. Namun begitu, harus diingat, sehingga hari ini, nama Shafie tidak dikaitkan dengan apa-apa skandal hasil perlakuan orang bawahannya.

Melihat kepada perkembangan ini, timbul persoalan, apa nasib Parti Warisan Sabah yang sebelum ini begitu hebat memukul canang kononnya mahu menumbangkan Tan Sri Musa Aman sebagai Ketua Menteri dan UMNO di Sabah? Mampukah Shafie membawa Warisan mencapai impiannya yang setinggi Gunung Kinabalu disaat hampir kesemua pegawai yang pernah berkhidmat di bawahnya, ditahan atas tuduhan rasuah dan penyelewengan?

Sudah tentunya, keadaan semakin menekan Shafie untuk membawa Warisan ketahap yang dia inginkan. Pastinya, Shafie sendiri menyedari bahawa adalah sesuatu yang amat sukar untuknya mengikis persepsi ketidak percayaan rakyat terhadap diri dan partinya setelah kesemua pegawai dan Naib Presidennya sendiri terpalit dengan tuduhan rasuah.

Dengan jangkaan Pilihan Raya Umum ke 14 akan berlangsung tidak lama lagi, kedudukan Shafie semakin tersepit dan ianya bakal menyukarkannya untuk membawa Warisan Sabah mengecapi kejayaan. Justeru, sudah boleh dijangka apa yang akan dilakukan oleh Shafie terhadap Warisan Sabah yang dulunya dijulang sebagai parti hanya untuk orang Sabah.

Di awal penubuhannya, dia berhasrat untuk mewariskan Parti Warisan Sabah ini kepada rakyat Sabah sendiri namun setelah apa yang berlaku, Warisan Sabah yang belumpun mencecah usia setahun, bakal berkubur tanpa waris yang mampu membangunkannya semula.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*