Tiga Individu Termasuk Pemimpin Kanan Parti Warisan Sabah Ditahan SPRM

Share This:

Tiga individu, termasuk pemimpin kanan Parti Warisan Sabah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan siasatan penyelewengan dana hampir RM180 juta sebuah kementerian.

Lelaki bergelar Datuk itu yang juga ahli perniagaan sebelum menyertai politik itu ditahan kira-kira jam 6.40 petang tadi ketika hadir ke pejabat SPRM negeri untuk dirakamkan kenyataan.

Beliau yang juga pemimpin sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret di sini esok untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

Turut ditahan, seorang ahli perniagaan sebuah syarikat pembinaan berumur 52 tahun di pejabat SPRM Sabah pada jam 8.45 malam tadi.

Seorang lagi yang ditahan ialah bekas Timbalan Setiausaha Bahagian kementerian terbabit berusia 40 tahun di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada jam 8.15 malam tadi.

Difahamkan, penahanan ketiga-tiga individu itu bagi membantu siasatan berkaitan penyelewengan dana membabitkan projek dilaksanakan di bawah sebuah kementerian Persekutuan di Sabah.

Tiga terbabit adalah antara 10 individu bergelar Datuk dan Datuk Seri diburu SPRM kerana disyaki ada kaitan dengan penyelewengan peruntukan kerajaan berjumlah ratusan juta ringgit untuk golongan miskin di Sabah.

Difahamkan, individu terbabit adalah proksi kepada seorang tokoh berpengaruh yang diberi tanggungjawab menyalurkan wang berkenaan bagi pelbagai projek bantuan rakyat di negeri ini beberapa tahun lalu.

SPRM juga dikatakan sedang menjejak lima pegawai kanan kerajaan yang disyaki bersekongkol dengan mereka.

Sementara itu, sumber berkata, SPRM setakat ini sudah membekukan akaun bank bernilai hampir RM180 juta milik lebih 10 syarikat di Sabah bagi membantu siasatan kes penyelewengan itu.

Menurut ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad ,beliau mengesahkan pihaknya sudah memulakan siasatan kes itu sejak beberapa bulan lalu.

Beliau berkata, pihaknya menyita RM150 juta sehingga semalam dan terbaru RM29 juta hari ini.

Difahamkan, SPRM juga menyerbu 15 lokasi, termasuk syarikat yang ada kaitan dengan 10 individu terbabit di Sabah, berkaitan kes berkenaan sejak beberapa hari lalu serta merampas banyak dokumen bagi membantu siasatan.

Bagaimanapun, SPRM masih belum mendedahkan nama kementerian berkenaan.

Menurut sumber, siasatan awal SPRM mendapati semua 10 individu yang diburu itu ‘menyimpan’ wang bagi pihak tokoh kenamaan itu untuk memastikan ia tidak dapat dijejak oleh pihak berkuasa.

“Sehingga sekarang sukar untuk mengesan pembabitan tokoh berpengaruh itu kerana dia bijak ‘menyembunyikan’ wang berkenaan.

“Proksi terbabit juga sebelum ini diberikan banyak projek mega Kerajaan Pusat untuk dilaksanakan di Sabah,” katanya.

Difahamkan, antara projek rakyat miskin yang terjejas dengan penyelewengan itu ialah Program Bantuan Makanan Sekolah, pembinaan kemudahan asas dan infrastruktur, menaik taraf bekalan air, elektrik serta penyelenggaraan pedalaman.

Semalam, SPRM menyita lebih RM150 juta dalam akaun bank berkaitan kes penyelewengan terbaharu di Sabah dan disusuli RM29 juta lagi dibekukan hari ini.

Ia hasil operasi yang dijalankan oleh pegawai penyiasat di 15 lokasi di Sabah.

-PRU14.TV

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*