Lambakan “Batu” Punca Pelajar Rosak

Share This:

Dadah atau “drug” adalah bahan atau kimia yang amat merbahaya kepada individu yang menggunakannya kerana ia mengubah cara minda dan tubuh manusia berfungsi.

Remaja dan pelajar sekolah pada masa kini kebanyakkannya mudah terjebak dalam kancah penagihan dadah dan salah satu punca utama apabila lambakan dadah mudah diperolehi dengan harga yang berpatutan.

Berbeza pada waktu dadah jenis syabu diperkenalkan dalam pasaran gelap, bekalan dadah sintetik itu kini boleh diperolehi di Malaysia dalam pek serendah RM10.

Satu masa dulu, kumpulan dadah seperti syabu, ais, atau lebih dikenali dengan panggilan “batu” oleh penagih, boleh diperolehi dengan harga minimum RM50.

“Sekarang pek RM10 mula dijual kepada budak sekolah, dulu mana dapat ‘batu’ pek RM10, paling sedikit pun RM50.

“Tapi sekarang pun mereka boleh ‘tong-tong’ (berkongsi) beli ‘batu’,” kata seorang bekas pengguna “batu” kepada FMT.

Menurutnya, modus operandi pembekal “batu” menjadikan remaja sekolah sebagai pengedar di sekolah.

Ia kerana mereka lebih jujur berbanding pengedar, atau lebih dikenali sebagai “tokan” dewasa.

Tambahnya lagi, remaja sekolah yang menjual “batu” juga menjadikan rangkaian pengedaran dadah mereka sebagai perlindungan daripada dibuli dan dipukul di sekolah.

Ini kerana, katanya, rangkaian pengedaran “batu” kebiasaanya berkait rapat dengan kumpulan samseng dan kongsi gelap.

“Budak sekolah kalau jadi ‘pusher’, mereka lebih jujur dan tidak curi duit. Orang dewasa tidak jujur, barang jual duit tak nampak.

“Lagipun mereka jual kepada budak sekolah yang sudah pasti ada duit belanja, jadi bekalan ‘batu’ sentiasa terjual,” katannya.

Suatu ketika dahulu, “batu” yang masuk ke Malaysia diimport dari negara luar seperti Iran, namun bekalan dadah itu kini kebanyakannya diproses di dalam makmal di negara ini. Kesannya ialah bahan itu semakin murah.

Ditambah dengan kepesatan teknologi hari ini, kandungan dan bahan untuk membuat “batu” boleh didapati dengan mudah dengan meluas di laman perkongsian video seperti YouTube.

Statistik menunjukkan seramai 1,330 pelajar sekolah rendah dan menengah ditangkap kerana pelbagai kesalahan berkaitan dadah sejak 3 tahun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Mohd Mokhtar Mohd Sharif berkata, walaupun masih terkawal, trend itu menunjukkan peningkatan.

Pada 2014 sahaja, 439 pelajar ditangkap, meningkat kepada 443 orang pada 2015 dan 448 tahun lepas.

Purata harga “batu” dalam pasaran Malaysia adalah antara RM100 dan RM150 untuk kuantiti 0.5gm.

“Dahulu, kira-kira 3 atau 4 tahun lepas, 0.5gm harganya RM250. Kebiasaannya 0.5gm itu boleh berkongsi antara 5 hingga 6 orang.

“Sekarang barang kita boleh proses sendiri di rumah, di YouTube ada tunjuk prosesnya, lagipun makmal membuat dadah ini banyak dalam negara sebab itu bekalan mudah nak dapat,” tambahnya.

Seorang lagi bekas pengguna yang mahu dikenali sebagai Tam berkata, kebiasaannya tokan yang menjual kepada pelajar sekolah adalah penagih “batu” sendiri.

Tam berkata, penagih berkenaan menggunakan keuntungan daripada penjualan “batu” kepada remaja sekolah untuk membeli bekalan dadah untuk kegunaannya.

“Biasanya penagih yang nak duit cepat nak beli dadah yang jual runcit dekat budak-budak sekolah.

“Selalunya bekalan paling sikit sekarang berharga RM30 untuk 0.5gm, 0.25gm pula berharga RM70,” kata Tam kepada FMT.

“Barang ini lebih mahal dari emas,” tambahnya.

Dia berkata, ketika menjadi pengguna “batu”, urusan pembelian juga dilakukan dengan cepat seperti khidmat pandu lalu bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

“Kita beritahu warna kereta, dadah jenis apa, dan kuantiti, nanti ada orang hantar, turunkan tingkap kereta, ambil barang dan selesai,” katanya.

Tam berkata, terdapat kod tertentu yang digunakan antara tokan dan pembeli bagi memudahkan urusan mereka.

Antara kod tersebut katanya adalah “sejuk” yang merujuk kepada batu, “panas” merujuk kepada heroin dan “babi” yang digunakan merujuk kepada anggota polis.

Tam yang kini bebas daripada penagihan “batu” berkata dia pernah cenderung untuk membunuh diri ketika terjebak dalam penagihan dadah.

“Atas dorongan keluarga dan tiada duit nak beli barang, saya memutuskan untuk berhenti,” katanya yang kini menjalani kehidupan yang lebih sihat.

“Benda ‘batu’ ini dah jadi lagi teruk daripada kanser. Penagih ‘batu’ ini makin ramai.

“Ia tiada istilah cuba-cuba. Sekali cuba, terus lekat, nak berhenti bukan senang. Harga mahal. Bila dah ketagih, sudah tentu kena beli. Duit habis sebab ‘batu’ sahaja, bila tiada duit, macam-macam benda jadi, bunuh bapa, merompak, meragut dan sebagainya,” kata Tam.

“Nasihat saya, jauhilah benda sial ni.”

Justeru,masyarakat perlu membanteras gejala ini sebelum ia berleluasa dan merosakkan diri serta minda generasi akan datang yang juga boleh membawa kepada peningkatan jenayah.

-PRU14.TV

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*