Lelaki Didakwa Melakukan Kelucahan Melampau Seorang Remaja (OKU)

Share This:

Seorang remaja perempuan yang juga orang kurang upaya (OKU) berusia 17 tahun, awal bulan ini telah diganggu oleh seorang lelaki.

Sehubungan itu,lelaki itu didakwa di Mahkamah Sesyen Sibu di sini hari ini kerana melakukan kelucahan melampau terhadap remaja tersebut.

Tertuduh, Law Swee Kuong, 53, didakwa melakukan dua kesalahan dalam satu kejadian di sebuah kompleks sukan di Jalan Stadium, di sini, antara jam 9:30 hingga 11 pagi, 7 September lalu.

Bagi kesalahan pertama, dia didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Kanak-kanak 2017, menyentuh mulut, dada dan kemaluan mangsa dengan tujuan seksual.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan.

Bagi tuduhan kedua pula, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(c) akta sama, melakukan aktiviti seksual dengan melakukan onani di hadapan mangsa.

Dia boleh dihukum penjara tidak lebih 10 tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Zulfadhli Tuah di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah, Rommie Ahmad Zaidi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh mengaku tidak bersalah sebelum Rommie menetapkan esok untuk sebutan semula kes.

Menurut kenyataan polis, mangsa yang tidak bersekolah berseorangan di rumahnya di sebuah kampung, di sini apabila suspek datang menjemputnya dengan motosikal sekitar jam 10.30 pagi.

Suspek kemudian membawa mangsa ke kompleks sukan berkenaan sebelum mencabul kehormatan remaja itu.

Lelaki terbabit menghantar mangsa pulang ke rumah selepas itu sebelum kejadian terbongkar apabila mangsa menceritakan kepada ibunya yang kemudian membuat laporan polis.

-PRU14.TV

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*