Tengku Adnan Hadir Tinjau Lokasi Tragedi Kebakaran Tahfiz Keramat Hujung

Share This:

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor adalah antara anggota kabinet yang paling awal hadir di lokasi kejadian kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Hujung, Dato Keramat yang berlaku awal pagi tadi.

Beliau yang dibawa ke tempat kejadian terkejut apabila melihat keadaan mayat yang bergelimpangan di dalam kebakaran yang dikatakan menyebabkan ramai nyawa terkorban.

“Saya sedih melihat apa yang berlaku. Tadi saya lihat mayat bergelimpangan, saya pun tak tahu apa nak buat,” katanya ketika ditemui pemberita.

Beliau turut dimaklumkan salah seorang mangsa yang maut ingin melarikan diri daripada tingkap pusat tahfiz, namun tidak dapat menyelamatkan diri kerana tingkap berjeriji

“Bila Bahagian Pembangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) minta buat mengikut spesifikasi, banyak yang tidak betul.

“Saya akan mengarahkan untuk melihat semula semua rumah tahfiz yang persendirian, kerana rumah tahfiz yang berdaftar dengan kerajaan tiada masalah kerana mereka mengikut spesifikasi yang DBKL dan bomba tentukan,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu turut mengorbankan lebih 22 pelajar berusia antara 13 hingga 17 tahun dan sekurang-kurangnya dua guru. Seramai 36 mangsa yang terlibat, 14 orang berjaya diselamatkan dan enam orang berada di pusat rawatan.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat, api dipercayai bermula dari tingkat atas pusat tahfiz tiga tingkat itu, dipercayai tempat pelajar serta guru tidur.

Pihak bomba berjaya memadamkan keseluruhan api pada 6.45 pagi dan mendapati pusat tahfiz tersebut menggunakan pintu keluar dan masuk yang sama.

Tengku Adnan meninjau keadaan tempat kejadian di Keramat Hujung, Kuala Lumpur.

Difahamkan, mayat mangsa ditemui dalam keadaan saling bertindih berhampiran pintu. Kebakaran dipercayai akibat litar pintas di pintu masuk dan mangsa tidak dapat menyelamatkan diri kerana tingkap dipasang gril.

Para netizen hari ini rata-rata sebak apabila menonton video yang dikongsikan di media sosial Facebook yang memaparkan keadaan api yang marak pada masa sama azan Subuh sedang berkumandang di masjid bersebelahan dengan pusat tahfiz berkenaan.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*