Rizalman Sebak,Anaknya Antara Bekas Pelajar Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah

Share This:

“Saya tidak dapat bayangkan jika Umar adalah salah seorang mangsa kebakaran pusat tahfiz itu,” kata Datuk Rizalman Ibrahim dalam nada tersekat-sekat apabila terkenangkan tragedi yang mengorbankan 24 nyawa pada awal pagi Khamis itu.

Anaknya, Umar Nail, 15, pernah mengikuti pengajian selama empat tahun di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Hujung di ibu negara.

Rizalman berkata, Umar kini melanjutkan pelajaran di Sekolah Tinggi Islam As-Sofa, Seremban selepas mengambil keputusan untuk menerima tawaran itu kira-kira dua tahun lalu.

“Apa yang membuatkan saya lebih sedih apabila memikirkan jika saya tidak membuat keputusan untuk Umar meneruskan pelajarannya di Sekolah Tinggi Islam As-Sofa.

“Jika Allah beri qada dan qadar berlainan, saya tidak dapat bayangkan apa yang terjadi kepada saya dan dia,” ujarnya.

Menurut pereka fesyen terkenal ini, dia tidak dapat menahan rasa sedih apabila menerima berita tersebut pagi Khamis.

Kejadian itu memberi kesan yang mendalam kerana sebahagian besar warga pusat tahfiz tersebut merupakan sebahagian daripada hidupnya.

“Saya tidak dapat menahan rasa sedih apabila menerima berita ini. Pertama saya bayangkan wajah-wajah yang pernah menjadi sebahagian daripada hidup saya.

“Setiap kali saya menjemput Umar, saya akan bertemu dengan anak-anak ini dan mereka juga pernah berlakon dalam filem pendek saya, Pulang pada tahun lalu,” kata Rizalman.

Sebahagian anak-anak tahfiz yang menjadi pelakon tambahan dalam filem pendek Rizalman iaitu Pulang.

Sementara itu, salah seorang mangsa yang terkorban dalam tragedi itu yang dikenali sebagai Ustaz Yusuf adalah antara pendidik yang mengajar Umar.

Kata Rizalman, dia sudah pun berjumpa dengan pengetua pusat tahfiz tersebut sebaik sahaja menerima berita itu.

“Salah seorang mangsa iaitu Ustaz Yusuf merupakan cikgu kepada Umar. Sepanjang Umar berada di pusat tahfiz tersebut, dia antara cikgu yang mengajar di kelas anak saya.

“Saya bukan sahaja mengenali seorang mangsa, tapi boleh dikatakan seluruh warga pusat tahfiz itu. Sebaik sahaja dapat berita ini, saya terus pergi ke lokasi untuk berjumpa dengan pengetua,” katanya.

Rizalman sudah memaklumkan kepada cikgu di sekolah Umar di Negeri Sembilan dan beliau tidak tahu bagaimana keadaan anaknya apabila menerima berita sedih itu.

Umar adalah anak angkat yang diambil daripada rakan dan kenalannya pada 2002, manakala seorang lagi anak angkatnya, Aali Nail sejak tahun lalu.

Seramai 22 murid dan dua tenaga pengajar maut dalam kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, awal pagi ini.

-PRU14.TV

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*