Bahang Halang Usaha Selamatkan Anak-anak Tahfiz

Share This:

Api yang begitu marak menghalang usaha awal orang awam untuk membawa keluar dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Datuk Keramat, di sini, awal pagi tadi.

Penduduk yang cuba memasuki pusat berkenaan untuk membantu pelajar hanya sampai ke pintu masuk asrama disebabkan bahang yang amat kuat daripada api yang sedang marak.

Babul Amir, 21, berkata dia meluru masuk ke bangunan terbabit untuk cuba menarik keluar pelajar yang berada di tingkat dua.

Katanya, dia berlari dan menaiki tangga selepas terdengar jeritan meminta tolong daripada pelajar.

“Namun, saya dihalang oleh bahang daripada api yang sedang marak. Ketika itu saya dapat lihat dua orang pelajar terbaring di atas katil.

“Saya cuba masuk juga tetapi bomba kemudian meminta saya turun kerana keadaan amat berbahaya,” katanya kepada BH.

Seorang lagi rakannya, Muhd Ridzwan Abdullah 21, berkata ketika dia berada di tangga dia dapat lihat beberapa serpihan bumbung telah mula runtuh.

“Saya cuba masuk ke asrama, namun bahang dan serpihan bumbung yang runtuh menghalang saya untuk masuk ke dalam.

“Hati saya luluh apabila saya sudah nampak dua orang pelajar terbaring di dalam asrama namun saya tidak dapat membantu membawa mereka keluar,” katanya.

Seorang pemandu, Baharuddin Sudin, 48, berkata dia menyedari kebakaran itu pada jam 5.15 pagi.

Ketika itu, katanya, dia mendengar bunyi jeritan meminta tolong daripada pelajar yang berada di tingkat dua dan api sedang marak.

Beliau berkata, ada di antara mereka yang cuba memecahkan cermin tingkap dan memanjat keluar menggunakan saluran paip di tepi bangunan.

“Saya cuba naik untuk membantu membawa mereka keluar tapi gagal.

“Perkara yang amat memberi kesan kepada saya ialah apabila bunyi jeritan meminta tolong itu tiba-tiba senyap lebih kurang lima minit selepas asap hitam keluar,” katanya.

Seorang kontraktor, Shahirman Shahril, 39, berkata dia dan beberapa lagi penduduk berhampiran menjerit kepada pelajar yang terperangkap supaya melompat turun ke bawah.

Katanya, ada tiga hingga empat pelajar yang melompat daripada bangunan.

“Saya dan penduduk cuba menyambut mereka di bawah, namun disebabkan ketinggian tingkat berkenaan, sukar untuk kami sambut mereka. Mereka melecur dengan teruk.

“Masih terngiang-ngiang bunyi jeritan meminta tolong mereka. Saya sungguh sedih kerana tidak dapat berbuat apa-apa,” katanya. – BH

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*