Penipuan Pembangkang Memang Cukup Memualkan

Share This:

Rata-rata rakyat Malaysia masih hangat memperkatakan tentang kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak ke White House atas jemputan rasmi Presiden Amerika, Donald Trump. Bagi mereka yang masih berfikir secara rasional, kunjungan ini disifatkan sebagai satu pengiktirafan Amerika sebagai kuasa besar dunia terhadap kepimpinan negara yang diterajui oleh Datuk Seri Mohd Najib.

Namun di pihak pembangkang, mereka sedaya upaya untuk menunjukkan kepada para penyokong mereka bahawa kunjungan ini tidak lebih dari sekadar usaha Datuk Seri Mohd Najib mencari talian hayat dalam politiknya. Maka, pelbagai tohmahan dan fitnah direka hanya untuk memperlekehkan kehadiran Datuk Seri Mohd Najib ke bumi Uncle Sam ini.

Memang agak melucukan apabila melihat deretan tuduhan yang tidak berasas mereka lemparkan sebaik sahaja beberapa keping gambar menunjukkan ketibaan Datuk Seri Mohd Najib di White House, tengah malam tadi. Mereka mendakwa, ketibaan Datuk Seri Mohd Najib melalui pintu “belakang” adalah bukti bahawa pertemuan ini bukanlah pertemuan rasmi antara kedua orang pemimpin ini.

Malah, tempat kediaman yang didiami oleh Datuk Seri Mohd Najib dan para delegasi Malaysia juga turut dipertikaikan. Lebih melucukan, ada yang membuat andaian kononnya, Donald Trump tidak berminat untuk menyambut ketibaan Perdana Menteri semalam. Dakwaan ini dibuat kerana tiada kelibat Trump di lapangan terbang dan ada juga yang mendakwa, tiada karpet merah dibentang untuk menyambut beliau.

Di pihak Rafizi Ramli pula, dia mendakwa pertemuan antara Datuk Seri Mohd Najib dan Dold Trump hanya berlangsung selama 30 minit dengan agenda mesyuaratnya hanya berlangsung selama 10 minit. Timbul persoalan, apakah yang sedang bermain di benak para penyokong dan pemimpin pembangkang di atas lawatan ini?

Secara amnya, amat jarang seorang Presiden Amerika menyambut ketibaan seseorang pemimpin tidak kira dari mana sekalipun. Ini kerana, pada kebiasaannya, hanya wakil Presiden dan para diplomat sahaja yang akan menyambut ketibaan seseorang pemimpin walaupun yang datang itu adalah Presiden Russia, Vladimir Putin.

Jika tidak begitu jelas, lihat sahaja bagaimana Yang Berhormat, Khairy Jamaluddin dan beberapa orang menteri kabinet dan Duta Amerika ke Malaysia sahaja yang menyambut ketibaan bekas Presiden Amerika, Barrack Obama semasa kunjungan Obama ke Malaysia, awal tahun ini. Datuk Seri Mohd Najib pada ketika itu sedang menghadiri satu majlis di Kuala Lumpur dan hanya bertemu dengan Obama pada Majlis Santapan DiRaja, di Istana Negara.

Ini adalah amalan standard tidak kira dari negara mana sekalipun. Menyentuh mengenai tempat kediaman sepanjang Datuk Seri Mohd Najib ke Amerika, lokasi kediaman yang disediakan adalah di Trump Tower, lokasi di mana Melania dan Donald Trump Jr menginap. Ia merupakan salah satu hotel paling mewah yang dimiliki Trump selain hotel yang berada di Las Vegas.

Tidak pernah dalam sejarah, seseorang Presiden Amerika menyediakan satu bilik di dalam White House untuk didiami oleh tetamu mereka walaupun tetamu itu adalah Raja Salman Abdulaziz Al Saud. Institusi Presiden di Amerika amat menitik beratkan keselamatan White House dan hanya Presiden dan orang kepercayaannya sahaja yang boleh menginap di White House, bukannya para tetamu asing.

Ketibaan Datuk Seri Mohd Najib semalam sememangnya bukan melalui pintu utama White House. Hanya beberapa orang pemimpin kuasa besar dunia sahaja yang pernah tiba melalui pintu hadapan White House. Malah, Presiden China, Xi Jinping juga tiba melalui pintu yang sama dengan Datuk Seri Mohd Najib semasa lawatannya ke Amerika, baru-baru ini.

Walaupun bukan melalui pintu utama, namun Presiden Trump menyambut ketibaan beliau bersama-sama dengan ahli Kongres yang sedia menanti hampir 20 minit. Disinilah satu lagi penipuan yang dibuat Rafizi Ramli terdedah. Andai ini kunjungan tidak rasmi, kenapa kesemua mereka yang berkhidmat di bawah Trump berdiri menanti kehadiran Perdana Menteri?

Malah, seandainya kunjungan ini hanya memakan masa 30 minit seperti yang didakwa Rafizi, mana mungkin mesyuarat dua hala antara delegasi Malaysia dengan Amerika dapat berlangsung? Jika pertemuan itu hanya memakan masa 10 minit, apa alasan dan penipuan Rafizi untuk menyangkal kenyataan Trump yang mengesahkan, mereka mempunyai mesyuarat tertutup selepas pertemuan delegasi Malaysia-Amerika berlangsung?

Secara kesimpulannya, kunjungan Datuk Seri Mohd Najib ke Amerika kali ini sebenarnya telah banyak “melukakan” hati pembangkang. Mereka kehilangan kata-kata disebalik dakwaan DoJ, FBI, CIA, NSA dan banyak lagi agensi mahu menahan beliau sebaik tiba di Amerika. Rasanya, mungkin ada yang tidak dapat tidur lena memikirkan, apa lagi penipuan yang mahu mereka reka untuk memburukkan pertemuan ini.

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*