Malaysia Terbukti Sebagai Suara Pendesak Kedamaian Sejagat

Share This:

Sukar untuk digambarkan bagaimana sebuah negara sekecil Malaysia mampu memainkan peranan besar dalam membawa mesej kedamaian sejagat samada di rantau Asia Tenggara mahupun di peringkat antarabangsa. Sejak dari dahulu lagi, Malaysia sentiasa memilih proses damai dan sikap berkecuali dalam banyak isu. Cuma dalam era Perang Dingin, Malaysia memilih menyebelahi Amerika Syarikat daripada menyebelahi Russia.

Dalam era serba moden hari ini, tidak kira negara apa sekalipun, ancaman pengganas sentiasa menjadi bayang hitam kepada semua negara terutamanya negara maju. Lihat sahaja insiden terbaru serangan pengganas di Barcelona yang mana serangan ini adalah rentetan serangan pengganas yang kerap kali menyasarkan ibu kota Eropah.

Di rantau Asia Tenggara pula, ancaman Daesh yang bertapak di Selatan Filipina selain daripada beberapa idealogi pengganas seperti Al-Qaeda, turut menjadi ancaman kepada banyak negara terutamyan di Filipina dan Indonesia. Malaysia sebagai sebuah negara yang menolak sebarang aktiviti keganasan, sedaya yang mungkin memerangi pengganas walaupun ada ketikanya, kita juga tidak terlepas daripada sasaran mereka.

Di peringkat global, peranan Malaysia dalam memperjuangkan nasib penduduk Palestin yang ditindas oleh Rejim Zionis telah mendapat perhatian daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Tidak pernah dalam sejarah penubuhan PBB, satu resolusi menyekat kemaraan dan pembinaan perumahan haram oleh Israel berjaya diluluskan.

Semuanya hasil daripada suara Malaysia yang cukup tegas dalam mempertahankan hak rakyat Palestin. Malah, US yang sekian lama menjadi pelindung Israel juga memilih untuk berkecuali dari menyokong atau memveto Resolusi berkenaan. Begitu juga halnya dengan krisis kemanusiaan di Rohingya yang berjaya menarik perhatian Perdana Menteri Turki, Reccep Tayyib Erdorgan.

Selaku Pengerusi OIC yang baru, Erdorgan mengambil inisiatif menghubungi sendiri pemimpin agung Myanmar, Aung San Suu Kyi bagi menyatakan bantahan OIC terhadap kekejaman tentera Myanmar. Di pihak Malaysia pula, kunjungan Datuk Seri Mohd Najib ke US hari ini antara lain membawa suara jutaan etnik Rohingya yang kini tersepit akibat pembantaian dan cubaan penghapusan etnik di sana.

Pendirian berkecuali Malaysia sekali lagi diserlahkan dalam konflik kuasa antara US dan Korea Utara. Walaupun Malaysia pernah mengalami hubungan yang agak tegang dengan Korea Utara akibat pembunuhan abang kepada Presiden Korea Utara, Kim Jong-un, namun pendirian Malaysia masih kekal dengan tidak memilih mana-mana pihak dalam hal ini.

Menarik untuk disaksikan, walaupun Malaysia mempunyai hubungan yang akrab dengan US, pada masa yang sama, Malaysia juga mempunyai hubungan yang cukup baik dengan kerajaan China. Inilah kelebihan Malaysia dalam membuat sebarang urusan samada diplomatik mahupun perdagangan. Sebagai sebuah negara yang bebas dan berdaulat, Malaysia boleh sahaja menjalinkan hubungan dengan mana-mana negara tanpa ada sebarang masalah.

Justeru, kunjungan Datuk Seri Mohd Najib ke Amerika mempunyai signifikannya yang tersendiri. Harus diakui, adalah sesuatu yang agak sukar untuk mendapat jemputan daripada Presiden Amerika itu sendiri. Ianya seolah-olah satu pengiktirafan kerajaan US yang kini diterajui oleh Donald Trump dalam setiap usaha Malaysia mencari kedamaian sejagat.

Malah, ianya juga boleh dianggap sebagai pengiktirafan tertinggi buat Datuk Seri Mohd Najib terhadap peranannya dalam mencari kestabilan serantau dan hubungan diplomatik dan perdagangan antara Kuala Lumpur – Washington. Pada masa yang sama, hubungan erat antara Kuala Lumpur – Beijing masih kekal terpelihara. Inilah wajah sebenar Malaysia pada kacamata masyarakat antarabangsa.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*