Anggap Diri Sebagai Calon Underdog- Presiden Kafa

Share This:

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) yang juga Pengasas Desa Murni Batik Kota Bharu iaitu Bibi Ramjani Ilias Khan menganggap dirinya sebagai calon “underdog” jika dibandingkan dengan empat pasukan yang lain.

Beliau mengakui bukan mudah mahu bersaing dengan golongan lelaki apatah lawannya pernah berada dalam Kafa untuk tempoh yang agak lama tetapi ia tidak melunturkan semangatnya.

“Bukan senang nak bersaing dengan lelaki ni tapi saya tahu orang perempuan bagus dari segi pengurusan. Usah pandang rendah keupayaan wanita.

“Insya-Allah andai diberi peluang saya akan cuba lakukan yang terbaik. Jika nawaitu kita betul, rezeki itu tidak akan ke mana-mana,” katanya.

Pada masa sama, usahawan kelahiran Kok Lanas itu memberitahu andai diberi peluang untuk menerajui Kafa beliau tidak mahu tumpuan diberikan kepada gelaran ‘presiden’ semata-mata tapi lebih kepada tanggungjawabnya dalam membangunkan bola sepak Kelantan.

“Andai menang, jangan letakkan saya sebagai presiden tapi seorang rakyat Kelantan yang sedia membantu membangunkan bola sepak negeri ini”,katanya.

“Semua tahu, bola sepak merupakan sukan untuk rakyat Kelantan. Penyokong bola di Kelantan memang fanatik. Saya juga yakin dengan nawaitu saya iaitu untuk membantu dan menguruskannya sebaik mungkin,” katanya.

Pada masa sama, usahawan berusia 46 tahun itu menafikan khabar angin bahawa beliau menjadikan platform kongres pemilihan ke-63 Kafa semata-mata untuk meraih publisiti atas kepentingan perniagaannya.

“Itu tidak benar. Banyak lagi strategi lain yang lebih berkesan untuk menaikkan perniagaan saya. Saya hanya ingin membantu menaikkan imej dan mutu bola sepak Kelantan. Tiada bola tiadalah penyokong.

“Saya pernah jadi penaja pada 2013 dan menyahut cabaran pelbagai pihak yang meminta saya untuk membantu serta melakukan pembaharuan dalam bola sepak Kelantan,” katanya.

Menjelang lima hari lagi berlangsungnya Kongres Agung Tahunan Kafa Kali Ke-63, Ahad ini, Bibi Ramjani turut melancarkan manifestonya yang memberi tumpuan kepada tiga isu utama.

Antara manifestonya yang dilancarkan dalam bentuk video berdurasi dua minit 19 saat itu menyatakan kesediaannya untuk melakukan penambahanbaikan pengurusan Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) dan pemain, selain penambahbaikan pasukan dan penyokong serta penjanaan sumber pendapatan Kafa.

“Namun perkara pertama yang akan saya lakukan jika diberi mandat untuk menerajui Kafa adalah membantu memulihkan kemelut kewangan badan induk bola sepak negeri itu.

“Sebagai usahawan saya akan berusaha untuk menjana pendapatan bagi pasukan. Meskipun bukan tampil sebagai penaja, saya akan cuba mencari rakan-rakan niaga yang lain untuk bantu memajukan bola sepak Kelantan,” katanya.

Sementara itu, beliau akan turut mewujudkan barisan exco yang terdiri daripada penaja The Red Warriors jika dipilih mengisi kerusi panas tersebut.

“Itu salah satu cara kita nak hargai sumbangan penaja. Kebanyakan penaja pasti terdiri dalam kalangan usahawan berjaya dari Kelantan. Sumbangan ikhlas mereka dari segi kewangan dan idea yang bernas amat diperlukan,” katanya.

-PRU14.TV

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*