Siapa Yang Harus Bertaubat, Mahathir Ataupun PAS?

Share This:

Satu ketika dahulu, sewaktu Tun Dr Mahathir dipecat daripada UMNO, dia pernah berkongsi pentas dengan PAS di Alor Setar dalam kempen Pilihan Raya sekitar tahun 1970-an. Namun begitu, sebaik sahaja berlakunya insiden darurat di Kelantan pada 1978, hubungan Mahathir dan PAS terus retak dan sehingga kini langsung tidak pernah walau sekalipun berbaik.

Hubungan tegang antara Mahathir dan PAS berterusan sewaktu dia menjadi Perdana Menteri. Apa yang tidak pernah Mahathir lemparkan kepada PAS, semuanya telah mewujudkan perseteruan yang teruk di mana Mahathir juga pernah dilabelkan oleh penyokong dan pemimpin PAS pada ketika itu sebagai Mahafiraun, Mahazalim dan macam-macam lagi.

Itu semasa dia masih di dalam UMNO. Hari ini, Mahathir sudah menyertai Pakatan Harapan dan dia sendiri turut menubuhkan partinya sendiri kononnya mahu menjahanamkan UMNO. Namun, dia yang juga Pengerusi Pakatan Harapan kekal dengan pendirian untuk terus bermusuh dengan PAS walaupun terdapat gerakan yang dimulakan oleh Datuk Seri Azmin Ali untuk berbaik dengan PAS.

Terbaru, dalam satu kenyataan, Mahathir mendakwa PAS harus bertaubat kerana sudah lari dari matlamat perjuangan asal mereka sehingga sanggup bekerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional dalam banyak perkara. Persoalannya, siapa yang harus bertaubat sekarang? Adakah PAS ataupun Mahathir sendiri?

Manakan tidak, sejak dahulu lagi Mahathir telah melemparkan pelbagai tuduhan kepada PAS di mana ada diantaranya cukup berbekas di hati para penyokong PAS. Tidak ketinggalan juga, Mahathir adalah individu bertanggungjawab dalam memenjarakan beberapa orang musuh politiknya termasuk mengenakan tuduhan pengganas kepada Ketua Dewan Pemuda PAS hari ini, Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Tidak cukup dengan itu, terlalu banyak skandal yang hari ini telah dibongkarkan dan ada diantaranya sedang berhadapan dengan Suruhanjaya Siasatan DiRaja. Melihat akan perkembangan ini, ingin ditanyakan kepada Mahathir, siapa yang harus bertaubat sebenarnya?

Pada usia yang sudah mencecah 93 tahun, sepatutnya dia berada di tikar sembahyang bagi memanjatkan kesyukuran kerana dikurniakan usia yang sebegini panjang serta harta yang melimpah ruah. Namun, pada mata Mahathir, kuasa dan kemewahan menjadi keutamaan sehingga dia sendiri bertindak seolah-olah ingin menongkat langit.

Usah terlalu mudah untuk menasihati orang supaya bertaubat kerana dirinya sendiri turut terpalit dengan pelbagai fitnah, andaian, pembohongan dan salah guna kuasa. Dalam hal ini, bukan PAS yang harus bertaubat dan kembali kepangkal jalan. Sebaliknya Mahathir harus sedar, pada usia sebegini dia wajar berada dalam keadaan selesa dan tidak giat memfitnah orang lain.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*