89 Das Tembakan Meriam Iringi Pedati DiRaja Arak Jenazah AlMarhum

Share This:

Sebanyak 21 das tembakan meriam dilepaskan tepat jam 7 pagi tadi, sebagai pemakluman kemangkatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.Jenazah Almarhum Sultan Kedah kemudian disemayamkan di Balai Penghadapan Baharu Istana Anak Bukit bagi istiadat bersiram bermula jam 8.30 pagi, sebelum dikafan dan disembahyangkan.

Solat jenazah diimamkan Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadhil Awang, dan disertai 22 pelajar Maahad Tahfiz Al Wustha dari Guar Chempedak, dekat sini.

Rakyat jelata memasuki Istana Diraja Anak Bukit untuk solat jenazah kemudian disusuli istiadat penghormatan terakhir mulai jam 11 pagi manakala sesi khas kenamaan serta delegasi asing bermula 12.30 tengah hari.

Jenazah Almarhum Sultan Kedah akan diarak menggunakan Pedati Diraja ke Makam Diraja Langgar dengan diiringi 89 das tembakan meriam yang ditetapkan mengikut umur baginda.

Jenazah Almarhum akan diiringi dua kumpulan pengusung membabitkan ketiga-tiga ketumbukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang diputerakan pada 28 November 1927, disahkan mangkat di Istana Anak Bukit jam 2.30 petang semalam.

Pengumuman kemangkatan dibuat Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, melalui sidang media khas dengan tujuh hari tempoh berkabung ditetapkan di Kedah manakala semua keraian, perayaan dan sambutan dibatalkan.

Bendera Kedah di semua bangunan Persekutuan, negeri dan milik awam di negeri itu juga perlu dikibarkan separuh tiang selama tiga hari bermula semalam.

Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah adalah satu-satunya Raja Melayu yang dua kali memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong.

Kali pertama selaku Yang di-Pertuan Agong ke-5 pada 21 September 1970 hingga 20 September 1975 dan kedua sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 13 Disember 2011 hingga 13 Disember 2016.

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*