Suara Rintihan Rohingya Mungkin Menjadi Agenda Pertemuan Najib Dan Trump

Share This:

Isu membabitkan etnik Rohingya yang begitu teruk terjejas akibat pembantaian berterusan oleh junta tentera Myanmar, terus mendapat perhatian dunia. Lihat sahaja bagaimana Presiden Turki, Recep Tayyib Erdogan yang menzahirkan perasaan kurang senang dengan penderitaan berterusan etnik ini yang beliau sifatkan antara yang terburuk dalam sejarah ketamadunan manusia.

Selain itu, reaksi keras Malaysia dizahirkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang menyelar cara pemimpin tertinggi Myanmar, Aung San Suu Kyi menangani masalah ini. Dalam satu kenyataan, beliau berkata, cukuplah penderitaan yang dialami oleh etnik Rohingya dan Suu Kyi wajar mencari jalan mengatasi masalah ini.

Selaku salah sebuah negara yang menganggotai negara-negara ASEAN, semua negara nyata kurang senang dengan cara kerajaan Myanmar menangani masalah ini.

Sehubungan dengan itu, peluang yang diterima oleh Datuk Seri Mohd Najib yang dijemput ke White House untuk bertemu dengan Presiden Amerika, Donald Trump sempena ulangtahun hubungan dua hala Malaysa Amerika kali ke 60 tahun, mungkin akan dijadikan platform terbaik Malaysia membawa suara rintihan etnik Rohingya ini ke pengetahuan Trump.

Kita tidak dapat menafikan bahawa Amerika adalah sebuah negara kuasa besar dunia yang kerap memainkan peranan dalam banyak urusan luar negara. Walaupun negara berkenaan kini berhadapan dengan sikap keras kepala Korea Utara, namun dalam kes membabitkan etnik Rohingya, Amerika juga bersependapat dengan banyak negara yang enggan lagi melihat penderitaan etnik ini terus berpanjangan.

Malaysia pula yang dikenali sebagai sebuah negara yang memperjuangkan keamanan dunia, pasti akan menyuarakan pandangan mereka kepada Amerika dan akan meminta campurtangan Washington dalam mengatasi masalah ini.

Malah, campurtangan Amerika dalam masalah di Myanmar bukan perkara baru kerana Myanmar sendiri pernah dikenakan sekatan ekonomi disebabkan oleh dasar negara berkenaan yang tidak menerima langsung amalan demokrasi sehingga bertindak mengenakan tahanan rumah berpanjangan terhadap Aung San Suu Kyi.

Hanya pada era bekas Presiden Barrack Obama, sekatan ini dilonggarkan kerana junta tentera yang memerintah negara berkenaan sejak berdekad lamanya, bersetuju untuk mengadakan pilihan raya yang lebih adil dan membebaskan sepenuhnya Suu Kyi dari tahanan rumah.

Memandangkan hubungan dua hala Malaysia – Amerika berada pada tahap yang terbaik, inilah peluang terbaik buat Malaysia khususnya Datuk Seri Mohd Najib membawa suara rintihan etnik Rohingya ini kepengetahuan Amerika. Mungkin ini adalah jalan terbaik bagi meleraikan kekusutan berpanjangan yang melanda Rahine dan beberapa kawasan sekitar yang selama ini menerima tekanan hebat dari junta tentera.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*