16 September Adalah Hari Penyatuan Buat Semua Kaum Dan Etnik Di Malaysia

Share This:

Setelah merasai kemeriahan sambutan hari Kebangsaan kali ke 60, Malaysia akan sekali lagi menyambut Hari Malaysia kali ke 54 tahun yang dijangka bakal disambut di Kota Kinabalu, Sabah. Pada usia 54 tahun ini, sudah tentu banyak perkara yang boleh diperkatakan tentang sambutan kali ini di saat negara berhadapan dengan pelbagai ancaman samada dari dalam mahupun dari luar.

Jika ada yang tidak memahami atau mengetahui, apa itu hari Malaysia, hari Malaysia adalah hari di mana negeri Sabah, Sarawak dan Singapura (keluar dari gagasan Malaysia pada 1965) telah membentuk sebuah negara yang hari ini kita kenali sebagai Malaysia. Pastinya tarikh 16 September 1963 akan terus dikenang sebagai tarikh paling istimewa dan bersejarah dalam lipatan sejarah negara.

Mungkin ada yang menganggap, hari berkenaan tidak begitu membawa erti kepada negara kerana tarikh 31 Ogos 1957 membawa pengertian yang lebih mendalam kerana pada tarikh berkenaan adalah tarikh kemerdekaan negara dari penjajahan British.

Tanggapan sebegini sebenarnya silap kerana tanpa tarikh 16 September 1963, Malaysia yang kita kenali hari ini mungkin tidak akan wujud sama sekali. Malah, pada tarikh ini jugalah menyaksikan penyatuan antara 12 negeri di Semenanjung Malaysia dengan negeri Sabah dan Sarawak menjadi satu yang hari ini kita kenali sebagai Malaysia.

Umum sedia maklum bahawa Sarawak mempunyai lebih 30 etnik dengan Sabah juga mempunyai lebih 50 etnik. Justeru, penyatuan sebegini sebenarnya membawa seribu rahmat kepada kita kerana kita boleh mengenali kebudayaan dan cara kehidupan etnik di sebelah Borneo. Ianya sekaligus memberikan lebih rencah dan daya penarik negara kepada dunia luar.

Tidak dinafikan bahawa sepanjang 54 tahun ini, telah wujud banyak usaha dari kedua-dua belah pihak samada di Semenanjung mahupun di Sabah dan Sarawak untuk meleraikan perjanjian penyatuan ini. Sebagai contoh, gerakan Sabah for Sabahan yang dipelopori oleh seorang aktivis yang berpengkalan di London, Doris Jones telah sedikit sebanyak mempengaruhi penduduk di Sabah.

Hal yang sama turut berlaku di Sarawak dengan kewujudan Sarawak for Sarawakian yang begitu hebat menyebarkan dakyah kononnya perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah tidak sah dan memanipulasikan negeri Sarawak. Dakyah kotor yang ada hubungkait dengan politik ini sebenarnya telah menyumbang kepada saling tidak mempercayai antara satu sama lain di kalangan rakyat di Sarawak dan Semenanjung.

Mujur, sifat keterbukaan Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri Sarawak telah merintis jalan untuk mengkaji semula beberapa perkara di dalam MA63 yang mungkin telah diambil secara sedar atau pun tidak oleh Kerajaan Persekutuan. Ianya telah dipelopori oleh bekas Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Tan Sri Haji Adenan Satem dan hari ini telah diteruskan oleh Datuk Amar Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg.

Malah, Datuk Amar Abang Johari juga telah mengambil inisiatif sendiri dengan menghantar sekumpulan peguam ke London untuk menyemak dan mengkaji beberapa perkara yang terkandung di dalam perjanjian asal MA63 supaya perkara sebegini tidak lagi berbangkit pada masa yang akan datang.

Di Sabah pula, kerajaan tidak pernah melupakan negeri ini kerana Sabah merupakan sebuah negeri yang cukup dahagakan pembangunan berterusan. Malah, kerajaan tidak pernah memandang enteng isu-isu yang membabitkan keselamatan dan kedaulatan negara seperti yang dialami oleh penduduk di Pantai Timur Sabah hari ini.

Secara kesimpulannya, kestabilan negara hanya akan wujud sekiranya terdapat saling percaya antara satu sama lain. Memang sukar untuk membendung sebarang gerakan jahat yang ingin menyaksikan Malaysia berpecah belah namun harus diingat, tidak kira samada di Tawau, Kunak, Kota Kinabalu, Limbang, Miri, Sarikei, Serian, Kuching mahupun di Kuala Lumpur, kita adalah rakyat Malaysia.

Seharusnya, sebagai rakyat Malaysia, kita harus memahami dan mendalami erti kewujudan sebuah negara yang berbilang kaum, etnik, agama dan suku bangsa yang mendiami sebuah negara yang bernama Malaysia. Kita harus berpegang kepada satu asas yang kukuh untuk membina Malaysia sebagai sebuah negara yang progresif, maju dan tinggi nilai kebudayaannya.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*