Zeti Dedahkan Kerugian BNM Urusniaga Forex Lebih RM30 Bilion

Share This:

Bekas Gabenor Bank Negara (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz hari ini dalam keterangannya kepada pihak Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) menyatakan kerugian urus niaga mata wang asing(Forex) pada sekitar 90-an telah menyebabkan bank pusat Malaysia itu rugi 10 kali ganda dari wang pelaburannya bermula 1988.

Beliau merupakan saksi ke-16, prosiding siasatan RCI skandal Forex berkenaan memberikan keterangan di depan lima orang ahli panel RCI.

BNM mengalami kerugian berjumlah RM31.506 bilion pada 1991 hingga 1994 akibat urusniaga mata wang itu.

“Jumlah kerugian keseluruhan dialami BNM dalam urus niaga forex bagi 1988 dan 1989 ialah RM3.503 bilion dan bagi 1991 hingga 1994, kerugian ialah RM31.506 bilion.

“Keuntungan pada 1990 ialah RM2.473 bilion,” katanya ketika memberi keterangan di Istana Kehakiman, Putrajaya.

Zeti mula berkhidmat dengan BNM sejak 1981 dan dilantik sebagai gabenor bank pusat itu pada 2000 sebelum perkhidmatannya tamat pada Mei 2016.

Mengulas lanjut, Zeti berkata, beliau hanya mendapat tahu mengenai kerugian ditanggung BNM itu pada 1994, ketika bekerja di pejabat BNM di London.

“Masa itu, saya masih bekerja di pejabat di London dan saya hubungi pegawai kanan BNM untuk mengetahui apa yang berlaku dan diberitahu BNM mengalami kerugian daripada pengurusan rizab,” katanya.

Pada hari pertama prosiding, Pengerusi RCI, Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata, jumlah kerugian akibat urus niaga forex BNM dari 1991 hingga 1994 ialah RM31.516 bilion.

Bagaimanapun, Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang merupakan peguam Tun Dr Mahathir Mohamad meminta Sidek menarik balik kenyataan itu, memandangkan prosiding RCI belum selesai.

Prosiding hari ini merupakan sesi ke-5 RCI bagi menyiasat kerugian BNM melalui kegiatan perdagangan forex sekitar 1990-an.
Kerugian itu berlaku pada 1990-an di bawah pentadbiran Mahathir, sementara Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan Menteri Kewangan ketika itu.

Siasatan RCI itu dipengerusikan Sidek yang merupakan bekas Ketua Setiausaha Negara; Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Kamaludin Md Said; Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Berhad, Datuk Seri Tajuddin Atan; Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan, Tan Sri Saw Choo Boon; Ahli Institut Akauntan Malaysia, K Pushpanathan; dan Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan, Datuk Dr Yusof Ismail.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*