RCI Forex : Individu Berprofil Tinggi Hadir Beri Keterangan

Share This:

Kehadiran tiga personaliti berprofil tinggi termasuk bekas Gabenor Bank Negara (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz untuk memberi keterangan pada prosiding Suruhanjaya Siasatan Untuk Menyiasat Kes Kerugian Akibat Urus Niaga Mata Wang Asing Oleh Bank Negara Malaysia (BNM) Sekitar Tahun 1990-an menjadi tumpuan di Istana Kehakiman di Putrajaya, hari ini.

Selain Zeti, bekas Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang juga Penasihat BNM pada 1989 hingga April 1994 dan bekas Peguam Negara Tan Sri Ainum Mohamed Saaid juga hadir untuk memberi keterangan pada prosiding itu.

Zeti yang berbaju kurung berwarna biru kegemarannya tiba di Istana Kehakiman kira-kira 8.30 pagi dan sentiasa kelihatan tersenyum ketika pergerakannya dirakam lensa jurugambar.

Ainum tiba kira-kira 15 minit lebih awal daripada Zeti, memetik laporan BERNAMA.

Kehadiran Nor Mohamed pada kira-kira 10.20 pagi juga dinanti-nantikan terutama jurugambar yang sedia menunggu ketibaannya di pintu utama mahkamah.

Nor Mohamed turut senyum apabila diekori pihak media sehingga diiringi masuk ke bilik menunggu bagi saksi sebelum dipanggil memberi keterangan di hadapan suruhanjaya siasatan.

Suruhanjaya Siasatan kes kerugian urus niaga mata wang asing itu ditubuhkan selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 [Akta 119] yang penubuhan dan keanggotaannya mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

Suruhanjaya enam anggota itu dipengerusikan Pengerusi Petroliam Nasional Bhd (Petronas) Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Turut menganggotai suruhanjaya itu ialah Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Kamaludin Md Said; Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd Datuk Seri Tajuddin Atan; Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan Tan Sri Saw Choo Boon, Ahli Institut Akauntan Malaysia K. Pushpanathan dan Pengarah Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan Datuk Dr Yusof Ismail yang juga Setiausaha suruhanjaya siasatan itu.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*