60 Tahun Merdeka, Masih Merdekakah Kita?

Share This:

Pada tarikh 31 Ogos 1957, sewaktu Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj membacakan watikah kemerdekaan negara dihadapan Duli-Dulu Yang Maha Mulia, Paduka Raja-Raja Melayu di Stadium Merdeka, beliau mengingatkan rakyat Malaysia (Malaya pada ketika itu), untuk mempertahankan kemerdekaan yang dikecapi oleh negara sehingga akhir masa.

Perkara yang sama kerap kali disebutkan oleh semua Perdana Menteri yang menerajui negara di setiap utusan hari kemerdekaan yang disiarkan samada menerusi corong-corong radio mahupun di paparkan di skrin-skrin televisyen. Persoalannya, adakah kita masih lagi menikmati merdeka seperti mana kita menikmatinya, 60 tahun yang lalu?

Benar seperti yang pernah diungkapkan oleh Datuk Seri Mohd Najib saban tahun. Untuk meraih kemerdekaan negara adalah satu tindakan yang agak mudah walaupun berhadapan dengan pelbagai halangan. Tetapi, untuk mempertahankan dan mengekalkan kemerdekaan adalah sesuatu yang amat sukar untuk dilakukan selagi mana wujudnya Malaysia di atas muka bumi ini.

Istilah merdeka ini sebenarnya cukup luas pengertiannya. Selain tidak lagi dikongkong oleh sebarang penjajahan, minda yang merdeka juga turut memainkan peranan dalam membawa erti kemerdekaan sebenar kepada sesebuah negara.

Hari ini, kita dapat lihat sendiri bagaimana sesebuah negara yang mengecapi kemerdekaannya lebih awal dari Malaysia, berada dalam keadaan huru hara dan tidak tenteram. Antara punca utama penyumbang kepada ketidak tenteraman sesebuah negara adalah minda rakyatnya sendiri yang mengizinkan “penjajahan” cara baru meracuni pemikiran mereka.

Boleh dikatakan, kemerdekaan ini tidak terhad hanya sekadar sebuah negara dan kebebasan menikmati kehidupan. Kemerdekaan ini perlu disemai dan dikawal agar ianya tidak merosakkan pemikiran sehingga sanggup untuk menjadi hamba kepada penjajahan cara baru bagi memporak perandakan kestabilan sesebuah negara terutamanya negara seperti Malaysia.

Dahulu, sewaktu rundingan kemerdekaan negara yang dibuat di Lot 10 Downing Street, London, antara perkara asas yang dibangkitkan oleh penjajah Inggeris adalah bagaimana Malaya boleh ditadbir oleh kaum Melayu sedangkan penduduknya adalah terdiri daripada pelbagai bangsa dan etnik?

Namun, atas semangat kemerdekaan dan cintakan kemerdekaan dan keamanan, Malaysia hari ini sudah membuktikan kepada dunia, adunan terbaik antara rakyat dan pemimpin, mampu menjadikan negara yang pernah dilabelkan sebagai bom jangka, kepada sebuah negara yang cukup disegani dan dicemburui oleh banyak negara.

Sanggupkah kita menggadaikan kemerdekaan yang kita nikmati ini hanya disebabkan kebencian dan kecederungan fahaman politik? Lihat sahaja sepanjang 4 tahun terakhir ini. Perlbagai usaha dilakukan oleh pemimpin dan individu yang tidak bertanggungjawab, cuba mencemarkan kedaulatan negara dengan pelbagai tindakan yang boleh dianggap sebagai biadab dan tidak bermaruah.

Impian kelompok ini hanyalah satu iaitu meraih sokongan politik bagi membolehkan mereka membentuk kerajaan. Adakah berbaloi bertindak seperti Si Kitul sedangkan yang menjadi mangsa adalah mereka yang tidak bersalah? Adakah ini yang dinamakan sebagai kemerdekaan sahsiah diri, pemikiran dan negara?

Menjelang sambutan ulangtahun kemerdekaan kali ke 60 ini, renungkanlah diri masing-masing. Apakah kita sudah cukup merdeka dengan apa yang kita nikmati hari ini? Adakah pemikiran kita sudah cukup merdeka? Apakah sumbangan kita kepada negara bagi mempertahankan amanat Tunku Abdul Rahman yang mahu memastikan kemerdekaan negara kekal sehingga ke akhir masa?

Paling utama, usah disebabkan dengan ketaksuban politik, kedaulatan dan kemerdekaan negara di gadaikan hanya untuk kepentingan kuasa individu. 31 .2 juta rakyat Malaysia pastinya mahu mewarisi negara ini dalam keadaan yang terbaik kepada waris-waris mereka. Jangan warisi kemerdekaan negara ini dengan dicemari kemaruk hawa nafsu sendiri sehingga mengotorkan kedaulatan dan imej negara.

Merdeka!
Merdeka!
Merdeka!

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*