Cara ASEAN Telah Bawa Kestabilan Dan Kemakmuran Di Rantau Ini – PM

Share This:

Cara yang diamalkan ASEAN selama ini, telah membawa kestabilan dan kemakmuran di rantau ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata banyak pihak kini menyatakan bahawa ia adalah model yang begitu sesuai kepada negara anggota ASEAN, dan bagi negara-negara membangun yang lain, berbanding pertubuhan-pertubuhan serantau yang lain yang kini mendapati mereka menghadapi masalah dengan pembahagian.

“Kita telah dapat mengekalkan semangat persahabatan, membuat keputusan secara konsensus, dan mengiktiraf kedaulatan negara masing-masing. Kita bersatu dalam ASEAN tetapi tidak mencampuri hal ehwal dalaman negara jiran kita,” katanya dalam ucaptama yang disampaikan pada sambutan ulang tahun ke-50 ASEAN di Kuala Lumpur, hari ini dalam laporan BERNAMA.

Beliau juga berkata ASEAN kini diiktiraf sebagai penggerak utama dalam seni bina politik, keselamatan dan ekonomi serantau, yang menyaksikan kuasa besar dibawa bersama untuk berunding dan membincangkan isu-isu penting semasa melalui dialog termasuk Forum Serantau ASEAN dan Sidang Kemuncak Asia Timur.

Cara ASEAN merupakan satu siri prinsip yang diterima pakai apabila ASEAN dibentuk pada tahun 1967, yang memberikan perhatian berhubung kedaulatan negara dan komitmen untuk tidak campur tangan dalam hal ehwal negara anggota.

Menurut Najib, ASEAN memimpin dan memajukan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau, yang akan membawa peluang baharu kepada hampir separuh penduduk dunia dan yang mewakili 30 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global.

“Dengan gabungan KDNK sebanyak US$ 2.6 trilion, ASEAN merupakan ekonomi keenam terbesar di dunia, dan dijangka menjadi ekonomi keempat terbesar di dunia menjelang 2050, dengan sesetengah pihak menganggarkan bahawa kita akan mencapai kedudukan itu menjelang 2030,” katanya.

Menyentuh mengenai Komuniti ASEAN, perdana menteri berkata beliau bangga bahawa Deklarasi mengenai penubuhan Komuniti ASEAN dikeluarkan semasa Malaysia menjadi pengerusi pertubuhan itu pada November 2015.

“Kami mengesahkan komitmen kami yang lalu, dan menggariskan aspirasi kami ke arah mewujudkan Komuniti ASEAN berasaskan peraturan, yang berpaksikan rakyat dan berorientasikan rakyat , yang mana rakyat kita mengambil bahagian, dan memanfaatkan sepenuhnya integrasi ASEAN dan pembinaan komuniti.

“Kami juga menghasilkan hala tuju yang akan memberi petunjuk kepada kami sepanjang dekad sehingga sehingga 2025, memandangkan matlamat kami untuk komuniti yang secara politiknya bersatu padu, bersepadu secara ekonomi dan bertanggungjawab secara sosial, katanya sambil menyatakan bahawa kunci untuk memiliki ASEAN Berpaksikan Rakyat, adalah meletakkan rakyat di hati ASEAN.

Najib juga menegaskan bahawa 10 negara anggota ASEAN harus berusaha untuk menjadikan rantau Asia Tenggara suatu realiti yang relevan dan nyata kepada rakyatnya.

“Kita mesti meningkatkan kesedaran mengenai sejarah dan pencapaian pertubuhan kita, dan menjelaskan apa yang kita harap akan dilakukan pada masa depan, supaya pada suatu hari nanti, kita akan memikirkan diri kita bukan sahaja sebagai rakyat Malaysia tetapi sebagai rakyat ASEAN,” katanya.

Beliau berkata, ASEAN pada usia 50 adalah satu peristiwa penting, dan ia begitu bermakna kepada beliau secara peribadi memandangkan Al-marhum ayahandanya, Tun Abdul Razak Hussein, yang ketika itu merupakan timbalan perdana menteri, adalah seorang daripada lima pengasas yang menandatangani Deklarasi Bangkok.

“Ketika itu, saya seorang remaja, namun saya sedar bahawa ini adalah peristiwa penting, yang mewakili satu usaha penting serantau secara kolektif bagi membina hubungan persahabatan di antara satu sama lain.

“Adalah berbaloi apabila memikirkan balik keadaan ketika itu, dan mengingati bahawa rantau kita dilanda begitu banyak konflik dan masalah. Kestabilan dan keamanan tidak boleh dipandang ringan sebenarnya, ia benar-benar bertentangan,” katanya.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*