#KL2017 : Bermulanya Era Kecemerlangan Sukan Malaysia Di Rantau Asia Tenggara

Share This:

Hampir 700 juta orang di seluruh Asia Tenggara hari ini sedang menghitung detik berlangsungnya Sukan SEA kali ke 29 yang bakal diadakan di Malaysia. Sukan dwi tahunan ini pada kebiasaannya adalah medan untuk mengetengahkan barisan atlet-atlet paling berbakat di Asia Tenggara untuk dijadikan sandaran negara masing-masing bagi bertanding keperingkat yang lebih tinggi.

Sebelum Sukan SEA ini diperkenalkan pada tahun 1977 di mana Kuala Lumpur menjadi tuan rumah pada edisi ke 9, temasya ini sebenarnya dikenali sebagai Sukan SEAP (South East Asia Peninsular) di mana Bandaraya Bangkok, Thailand dipilih sebagai tuan rumah yang pertama. Namun, siapa menyangka, idea asal temasya ini sebenarnya bermula di Bandaraya Tokyo, Jepun semasa berlangsungnya Sukan Asia?

Pada 22 Mei 1958, semua delegasi dari negara semenanjung Asia Tenggara menghadiri Sukan Asia ke-3 di Tokyo, Jepun untuk membuat perjumpaan kali pertama. Perjumpaan ini menghasilkan keputusan positif di mana banyak pihak bersetuju untuk mengadakan temasya sukan bagi peringkat Asia Tenggara.

Hasilnya, draf cadangan untuk temasya sukan SEAP dibentuk berasaskan dari idea dan konsep dari Laung Sukhumnaipradit, Naib Presiden Komiti Olimpik Thailand. Cadangan ini diterima oleh kesemua negara Asia Tenggara yang pada ketika itu dianggotai oleh Thailand, Malaysia, Myanmar, Laos, Kembodia dan Vietnam Selatan dan sukan ini dipromosikan untuk negara semenanjung Asia Tenggara.

Antara tujuan utama pembentukan Sukan Asia Tenggara ini adalah, menerusi acara sukan serantau seperti ini, ianya akan membantu menggalakkan kerjasama, persefahaman dan menguatkan hubungan antara negara-negara di rantau Asia Tenggara.

Maka terhasillah temasya sukan SEAP yang pertama yang diadakan di Bangkok, Thailand dari 12-17 Disember 1959 dan disertai oleh seramai 527 atlet dan pegawai rasmi dari Thailand, Burma, Malaysia, Singapura, Vietnam Selatan dan Laos yang bertanding dalam 12 jenis sukan.

Malaysia yang pada ketika itu dikenali sebagai Malaya sebenarnya sudah mempunyai beberapa atlet yang sudah biasa bertanding diperngkat antarabangsa terutamanya dalam sukan Badminton. Nyata sekali, penyertaan negara dalam sukan SEAP yang pertama ini tidak menghampakan apabila berjaya menduduki tangga ke 3 dengan mengumpul 8 emas, 15 perak dan 11 gangsa.

Dua tahun berlalu dan tibalah pula giliran Rangoon (kini dikenali sebagai Yangon), Myanmar menganjurkan sukan dwi tahunan ini. Penganjuran sukan ini tidak kurang dengan sedikit kontroversi apabila Junta tentera Burma pada ketika itu baru sahaja menguasai sepenuhnya negara berkenaan dan mula mengamalkan pemerintahan secara junta.

Namun, semua itu tidak menghalang 7 buah negara untuk mengambil bahagian di mana temasya ini diadakan bermula 11 hingga 16 Disember 1961. Seramai lebih 800 atlet dan pegawai mengambil bahagian dalam temasya sukan kedua ini dengan Malaysia menghantar 87 atlet dan pegawai, pertambahan 21 orang dari temasya sebelumnya.

Sekali lagi kontijen negara tidak menghampakan apabila sekali lagi menduduki tangga ketiga dengan mengumpul 16 emas, 24 perak dan 39 gangsa. Pencapaian ini adalah sekali ganda lebih baik dari apa yang berjaya diraih oleh kontijen negara pada temasya Sukan SEAP 1959.

Temasya sukan SEAP di Yanggon ini juga turut mencatatkan sejarahnya yang tersendiri apabila buat pertama kalinya, Persekutuan Sukan Asia Tenggara telah menentukan calon tuan rumah untuk dua edisi seterusnya di mana Phnom Penh dan Kuala Lumpur dipilih sebagai tuan rumah untuk edisi ketiga dan keempat.

Namun, perperangan berterusan di Phnom Penh dan kawasan sekitarnya telah menyebabkan temasya sukan SEAP kali ketiga yang sepatutnya dianjurkan pada 1963, terpaksa dibatalkan. Walaupun Persekutuan Sukan Asia Tenggara ada mencadangakan supaya Kuala Lumpur mengambil alih tugas Phnom Penh, namun cadangan ini terpaksa ditolak disebabkan Kuala Lumpur masih belum bersedia sepenuhnya untuk menganjurkan sukan SEAP ini.

Bersambung

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*