Lebih Banyak Latihan Genovasi Malaysia Untuk Tingkat Kecekapan – PM Najib

Share This:

Kerajaan akan menghantar lebih ramai kakitangan menjalani latihan di bawah program Genovasi Malaysia (Genovasi) bagi menguasai pemikiran reka cipta untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti agensi dan jabatan kerajaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata Genovasi, melalui program Duta Inovasi Pemikiran Reka Cipta (DTIA), telah melatih 4,000 peserta dari sektor awam dan swasta menggunakan model pemikiran reka cipta Stanford d.school dan Hasso-Plattner-Institute (HPI).

“Saya mendapat maklum balas amat positif daripada peserta yang menghadiri program Duta Inovasi Pemikiran Reka Cipta selama ini. Mereka adalah kadet dan kakitangan dalam perkhidmatan Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) dari seluruh negara.

Mereka memberitahu saya bagaimana Pemikiran Reka Cipta telah dapat diaplikasikan bagi meningkatkan proses kerja dalam pelbagai unit kerajaan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Wisma Putra, Bomba dan Penyelamat, dan Polis Diraja Malaysia,” katanya pada sambutan ulang tahun ke-5 Genovasi di Petaling Jaya, hari ini.

Genovasi yang dilancarkan pada 1 Ogos 2012 bertujuan bagi membolehkan golongan muda Malaysia memupuk budaya inovasi menggunakan metodologi Pemikiran Reka Cipta sebagai satu kemahiran untuk mewujudkan projek-projek berpaksikan komuniti yang merupakan gelombang baru kekayaan dan penyelesaian bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam.

Perdana Menteri berkata sebagai contoh, PDRM mengemukakan satu idea yang dirintis mereka sebagai satu inisiatif yang dipanggil ‘Talk to Us’, bertujuan untuk meningkatkan penglibatan masyarakat, dengan mendapat maklum balas sangat positif daripada orang ramai.

Beliau berkata penciptaan program itu adalah hasil penyertaan PDRM dalam kursus Pemikiran Reka Cipta yang disediakan Genovasi.

Najib juga mengumumkan Sarawak akan menjadi negeri pertama di Malaysia yang menyatakan komitmen untuk melaksanakan latihan Pemikiran Reka Cipta.

“Saya rasa Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri ada sedikit kaitan dengan perkara ini. Saya ucap tahniah kepada Sarawak atas langkah pemikiran ke hadapan ini dan berharap negeri-negeri lain juga akan melakukan perkara yang sama tidak lama lagi, ” katanya.

Najib juga melahirkan rasa bangga dengan perjalanan Genovasi sejak lima tahun kebelakangan ini, dan berharap ia akan berterusan dalam usaha menjadikan Malaysia menerima pakai lebih banyak cara pemikiran masa depan yang tidak mungkin menjadi usang.

Beliau juga mengumumkan Genovasi akan menjalankan program mereka dalam Bahasa Malaysia dan Mandarin, bersama dengan Kumpulan Media Karangkaf dan Oriental Press Group, agar para peserta mampu menyerap pengalaman pembelajaran dengan lebih baik.

“Ideanya ialah kita mahu seberapa ramai yang mungkin menjadi sebahagian daripada pergerakan pemikiran reka cipta ini, untuk bersedia menghadapi cabaran yang akan dibawa pada masa depan yang sentiasa berubah , dan saya berharap apabila modul ini boleh didapati dalam Bahasa (Malaysia) dan Mandarin membolehkan lebih ramai orang menjalani kursus Genovasi,” katanya. – BERNAMA

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*