Kes Jenayah Seksual Kanak-Kanak Akan Diselesai Dalam Tempoh 1 Tahun

Share This:

Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-Kanak telah beroperasi secara rasmi pada 4 Julai 2017.

Menurut Menteri di jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, penubuhan mahkamah tersebut diumumkan Perdana Menteri sewaktu merasmikan “Seminar Kebangsaan Jenayah Seksual Kanak-Kanak 2017: Hentikan!!!” anjuran PERMATA pada 13 Mac 2017.

“Untuk makluman Yang Berhormat juga, kes-kes yang didaftarkan di bawah Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak akan diselesaikan atau dilupuskan dalam tempoh 1 tahun dari tarikh ia didaftar di Mahkamah tersebut.

“Ini juga adalah sepertimana yang telah dihasratkan oleh YAB Perdana Menteri dan juga Yang Amat Arif Ketua Hakim Negara,” katanya bagi menjawab soalan yang dikemukakan Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu Noraini meminta Kementerian menyatakan sama ada Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak telah mula beroperasi secara rasmi dan berapakah bilangan kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak telah mula dibicarakan sehingga ke hari ini.

Mengulas lanjut, beliau turut berkata pada peringkat permulaan, Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak ini ditubuhkan di Putrajaya untuk mendengar dan memutuskan kes-kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak dalam daerah Shah Alam, Petaling Jaya, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak yang di Putrajaya telah menyediakan keperluan bagi prasarana yang khusus seperti sistem teknologi dan infrastruktur yang bersesuaian dengan mahkamah khas tersebut.

Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak ini telah dilengkapi dengan sistem Court Recording Transcription (CRT), Sistem Audio Visual dan Bilik Saksi Kanak-Kanak dan Bilik Menunggu Saksi Kanak-Kanak (“Bilik PERMATA”).

Jelas azalina, prasarana khusus ini amat penting demi membantu prosiding perbicaraan di mahkamah khas tersebut.

“Kemudahan yang disediakan ini dapat memastikan perbicaraan dan pendengaran kes dijalankan dengan cepat dan berkesan. Sistem Audio Visual ini membolehkan saksi kanak-kanak lebih selesa untuk memberi keterangan di luar Mahkamah terbuka dalam bilik yang berasingan. Sistem Audio Visual ini juga membantu pihak Pendakwa Raya dan peguam untuk mengendalikan prosiding mahkamah,” ujarnya.

Setakat 26 Julai 2017, terdapat sebanyak 62 kes didaftarkan dan pecahan status kes adalah seperti berikut: 11 kes telah selesai, 25 dalam sebutan, dan 26 kes masih dalam perbicaraan. – pru14.tv

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*