Ribuan Warga Parit Teruja PM Datang Dengan Helikopter

Share This:

GENAP dua minggu lalu, penduduk Parit teruja apabila lebih 4,000 tetamu dari seluruh negara sanggup datang memeriahkan sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Masyarakat Kampar 1Malaysia.

Program anjuran bersama Ikatan Kamparputra Malaysia dan penduduk Kampung Baru Parit yang julung kali diadakan di Dataran Parit juga menyaksikan pekan seluas 512 hektar di Daerah Perak Tengah itu memang sibuk.

Hari ini, Parit yang cukup terkenal dengan hidangan popular mi hailam di sebuah medan selera bersebelahan Sungai Perak itu turut meriah apabila menerima kunjungan tetamu paling istimewa iaitu pemimpin negara kita sendiri.

Lebih unik, kedatangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke pekan tersebut adalah dengan menaiki helikopter yang selamat mendarat di Stadium Mini Parit selepas terbang hampir 40 minit dari Subang, Selangor.

Ketibaan beliau kira-kira pukul 9.45 pagi Sabtu dalam suasana cuaca cerah disambut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO dan Barisan Nasional (BN) Perak.

Penduduk tempatan tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan sendiri pesawat eksekutif rasmi kerajaan iaitu Augusta Westland 139 AB itu turun di padang malah ada dilaporkan sanggup menunggu awal sejak jam 7 pagi lagi.

Menurut Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Akmar Hisham Mokhles, lawatan Najib kali ini adalah untuk merasmikan Persidangan Tahunan Perwakilan UMNO Bahagian Parit di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Parit.

“Ini bahkan merupakan mesyuarat bahagian yang pertama daripada sejumlah 199 bahagian UMNO di seluruh negara kecuali Sarawak, dirasmikan Perdana Menteri sendiri selaku Presiden UMNO dan Pengerusi BN,” jelasnya.

Turut hadir sama menyambut ketibaan Najib ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan Anggota Parlimen Parit yang juga Ketua UMNO Bahagian tersebut, Datuk Mohd. Zaim Abu Hasan.

Perasaan teruja warga Parit dengan lawatan Perdana Menteri nyata membangkitkan perasaan ceria malah ketika helikopter itu mendarat, sorakan dan teriakan nama ‘Najib!’ sebagai tanda sambutan mereka jelas kedengaran.

Dalam ucapan perasmian persidangan bahagian berkenaan, beliau turut meluahkan perasaan gembira apabila dapat melihat sendiri susana sokongan padu yang ditunjukkan oleh penduduk tempatan terutama ahli-ahli UMNO.

“Teman (saya) rasa bersemangat sebab kome (kalian) menerima kedatangan penuh pengharapan,” katanya dalam dialek setempat sambil bersyukur masyarakat turun menyambut dengan kemesraan ketika tiba di MRSM Parit.

Selepas ucapan perasmiannya, Najib turut dikejutkan pula dengan nyanyian spontan lagu ‘Selamat Hari Jadi’ kepada beliau sebagai tanda penghargaan daripada para perwakilan parti ‘keramat’ itu. – Mynewshub.cc

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*