Pucuk Pimpinan BN Tidak Akan Ambil Risiko Soal Pemilihan Calon

Share This:

Timbalan Perdana Menteri Datuk Sri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta semua pihak memberikan kepercayaan penuh kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam urusan memilih calon untuk Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti.

Beliau membuat permintaan itu ketika merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Setiawangsa di ibu negara sebelum ini. Semalam, ketika merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Tangga Batu di Melaka, Ahmad Zahid bertegas berkata Najib tidak akan ambil risiko dalam pemilihan calon.

Katanya calon berkenaan wajib yang penuhi citarasa kehendak rakyat.

“Apa yang penting adalah pilihan rakyat, citarasa rakyat…siapa yang rakyat mahu itu yang kita utamakan. Siapa yang rakyat mahu itu diberi oleh Perdana Menteri.

“Tidak perlu melobi (menjadi calon) melalui agensi atau apa sahaja. Kali ini Perdana Menteri tidak akan ambil risiko kalau calon itu tidak dikehendaki rakyat, kita tidak mahu ketepi calon kehendak rakyat,” katanya.

Beliau berkata pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) sudah ada maklumat terperinci berkenaan siapa wakil rakyat yang kerap turun padang memberikan khidmat kepada rakyat dan wakil rakyat yang gagal berbuat demikian.

Ahmad Zahid berkata apabila pucuk pimpinan telah menentukan calon yang akan bertanding pada PRU14, semua anggota parti perlu menerima dan menzahirkan sokongan kepada calon tersebut bagi memastikan kemenangan parti pada pilihan raya umum itu nanti.

Sementara itu, beliau berkata semua jentera UMNO dan BN perlu meletakkan fokus kerja kepada kawasan-kawasan yang dikenal pasti sebagai ‘retain’ dan regain’ menjelang PRU14.

“Kita ada prinsip ‘retain and regain’ di mana ‘retain’ kita kekalkan kawasan yang kita miliki, manakala ‘regain’ kita rampas kembali kawasan yang dimenangi pembangkang.

“Bagi kerusi yang akan dimenangi atau bakal dimenangi ini saya rasakan (wakil rakyat) harus turun ke bawah, turun berikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kerjasama parti pembangkang dalam Pakatan Harapan tidak sepadu dan sekukuh kerjasama yang dijalin oleh parti komponen dalam BN.

“Saya lihat yang di sebelah sana (parti pembangkang) tidak ada kesepaduan antara mereka namun kita 13 parti politik masih kekal dalam BN sejak dahulu lagi. Mereka tidak kekal sebab mempunyai hala tuju dan idelogi yang berbeza,” katanya.

Beliau berkata BN perlu bijak menggunakan media terutama media sosial dalam berkomunikasi dengan kumpulan sasaran dan tidak menggunakannya untuk bertelagah sesama sendiri. – pru14.tv

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*