Apabila Dua Siti Sibuk Cari Publisiti Murahan

Share This:

Apabila menyebut nama Siti, pasti antara orang yang kita ingat adalah penyanyi tersohor di Malaysia, Siti Nurhaliza. Namun sejak beberapa hari ini, seorang lagi Siti, Siti Zabedah Kassim turut mencuri tumpuan orang ramai berikutan kesnya yang menerima ugutan dari seorang yang tidak diketahui identitinya.

Apa yang menariknya, sepanjang minggu ini, dua orang pemilik nama Siti ini berjaya mencuri tumpuan. Seperti yang umum sedia maklum, Siti Kassim dilaporkan telah membuat laporan polis berhubung ugutan memenggal kepala, merogol dan menyimbah asid ke mukanya.

Namun begitu, nasib malang yang menimpa Siti Kassim ini langsung tidak mendapat simpati dari netizen media sosial malah dari masyarakat diluar sana. Masing-masing mempersendakan apa yang telah berlaku terhadap Siti Kassim ini. Mudah untuk difahami bahawa reaksi orang ramai ini berpunca dari sikap Siti Kassim sendiri yang cukup gemarkan publisiti murahan serta amat gemar melakukan provokasi.

Siapa dapat melupakan apa yang telah dilakukannya sewaktu bertindak menghentam Penceramah terkenal, Ustaz Zakir Naik sewaktu beliau mahu mengadakan ceramah di Malaysia. Tidak ketinggalan juga, usahanya yang mahu mengetengahkan fahaman Islam secara liberal sehinggakan sewenang-wenangnya dia mempersendakan nama Allah.

Disaat kes membabitkan Siti Kassim masih belum reda, timbul pula seorang lagi Siti cuba meraih publisiti murahan. Dia yang dimaksudkan adalah Siti Nurhaliza yang hari ini bolehlah dianggap sebagai salah seorang Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia hasil daripada ketaksubannya terhadap Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Semuanya bermula sewaktu dia mengeluarkan komen sinis yang menempelak ketegangan yang berlaku di PWTC dua hari lalu sewaktu Armada PPBM bertindak menceroboh dan menyerang Ibu Pejabat UMNO. Pertembungan itu menyaksikan Pemuda UMNO yang diketuai oleh Datuk Armand Azha telah bertindak menghalang pergerakan kira-kira 50 orang ahli Armada yang kononnya mahu menghantar surat jemputan kepada Datuk Seri Mohd Najib bagi program Nothing to Hide 2.

Dalam komen berkenaan, Siti dikatakan menulis, “yang kuat bergaduh tu pi hantaq ke Palestine” di dalam status yang dikeluarkan oleh seorang lagi penyanyi, Yassin Sulaiman. Komen berkenaan nyata menimbulkan kemarahan Datuk Armand sehinggakan Siti terpaksa mengeluarkan kenyataan kononnya dia tidak bermaksud untuk menujukan komen berkenaan kepada Armand atau sesiapa sahaja.

Persoalannya, apa tujuan Siti mengeluarkan kenyataan berkenaan kerana mengikut pemahaman, status yang dikeluarkan oleh Yassin berkenaan dilihat seperti menyebelahi pemuda Armada? Bukankah komen yang dibuat oleh kedua-dua penyanyi berkenaan sememangnya ditujukan kepada Pemuda UMNO yang hanya bertindak mempertahankan ibu pejabat UMNO dari dicerobohi oleh anak-anak muda yang tidak ada maruah?

Nampaknya, hanya masa sahaja yang menentukan hala tuju Siti Nurhaliza selepas ini. Dia yang sehingga kini masih belum menyatakan pendirian politiknya sudah acapkali dilihat mengeluarkan komen sinis mengutuk kerajaan. Lagipun, semua orang tahu bahawa dia adalah seorang yang cukup taksub dengan Mahathir dan adalah lebih baik, dia terus mengeluarkan kenyataan yang dia memang penyokong tegar Mahathir secara terbuka.

Contohilah Abby Abadi dan Aisyah yang secara terang-terangan menyatakan kecenderungan politik mereka. Bukan sukar mana untuk menyatakan sokongan. Malah, rasanya dia dan suaminya pun belum pernah menjejakkan kaki ke bumi Palestin. Jangan jadikan nasib malang yang menimpa penduduk Palestin sebagai modal untuk meraih publisiti murahan. Hormati dan doakan yang terbaik untuk mereka bukannya mengajuk.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*