Pulau Pinang Tandatangani IBR Tapi Ketua Menterinya Tertuduh Rasuah

Share This:

Negeri Pulau Pinang akhirnya bersetuju untuk menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) beserta tambahan 10 langkah lagi integriti kerajaan negeri Jumaat ini.

Ketua Menterinya, Lim Guan Eng berkata kerajaan di bawah pimpinannya tidak mempunyai masalah untuk menandatangani IBR secara sukarela dan telah dipersetujui oleh barisan Exco.

Menurutnya, pihaknya tidak menyedari bahawa kerajaan negeri perlu menghubungi SPRM, dan bukan hanya menunggu daripada SPRM, sebagaimana yang dilakukan antara agensi kerajaan.

“Mengapa SPRM tidak hanya memaklumkan kepada kerajaan negeri, melalui telefon atau e-mel tanpa sebarang paksaan, yang kami boleh memilih atau tidak untuk menyertai inisiatif secara sukarela kepada SPRM untuk menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR)?

“Kita tidak mempunyai masalah untuk menandatangani IBR ini secara sukarela malah bukan sahaja IBR tetapi kerajaan negeri turut menyediakan tambahan 10 langkah integriti yang akan ditandatangani oleh semua anggota pentadbiran kerajaan negeri, Adun dan Ahli Parlimen Pulau Pinang,” katanya di Georgetown.

Guan Eng berkata, 10 langkah integriti yang disediakan itu menunjukkan keikhlasan dan komitmen kerajaan negeri dalam memerangi rasuah serta tidak membenarkan perkara ini dimanipulasikan oleh media BN untuk membunuh Pulau Pinang dengan politik.

Katanya,10 langkah integriti tersebut termasuklah mengamalkan pentadbiran yang berlandaskan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT), melaksanakan tender terbuka yang kompetitif dan menginstitusikan pengisytiharan harta secara terbuka oleh Ketua Menteri, barisan Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Ahli pentadbiran dilarang daripada mendapat kelulusan permohonan tanah kerajaan negeri, ahli keluarga juga tidak dibenarkan untuk melibatkan diri dalam kontrak Kerajaan atau berurus niaga dengan kerajaan dan mereka juga tidak dibenarkan untuk menerima ‘derma’ peribadi,” katanya.

Bagi merealisasikan hasrat itu, Guan Eng berkata,kerajaan negeri akan menjemput Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Dzulkifli Ahmad untuk membincangkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dan tambahan 10 langkah integriti di Komtar pada hari Jumaat ini.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution mempersoalkan sama ada Dzulkifli ingin menjadi ahli politik atau selebriti kerana pendekatan dilakukan Dzulkifli berkaitan IBR dilihat hanya untuk mendapatkan perhatian media.

Saifuddin yang juga Penasihat Strategik Ketua Menteri Pulau Pinang turut berkata masyarakat tidak berminat dengan ikrar yang dianggap promosi semata-mata, dan beliau turut mempersoalkan mengapa Ikrar Integriti Korporat yang diperkenalkan sebelum ini, dihentikan.

Jangan lupa, Ketua Menteri negeri itu adalah tertuduh yang menunggu dibicarakan di Mahkamah Tinggi Georgetown atas tuduhan rasuah salah guna kuasa kerana beli banglo secara murah dari harga pasaran. – pru14.tv

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*