Gadis Ini Tolak Tawaran Model Demi Bola Sepak

Share This:

Apabila berbicara tentang bola sepak, sering kali golongan lelaki akan dikaitkan dengan sukan nombor satu ini.

Namun seiring dengan peredaran zaman, bola sepak bukan sahaja menjadi minat kaum adam tapi sudah mula dijiwai wanita.

Tidak terkecuali, Nur Syahindah Mohamad Kamal, 20, yang wajahnya menjadi tular di media sosial gara-gara bergiat aktif dalam sukan bola sepak.

Nur Syahindah atau lebih mesra disapa Nur Indah menjadi bualan hangat netizen kerana bukan sahaja pandai bermain bola tetapi memiliki paras rupa yang cantik.

Gadis berdarah campuran Melayu dan Cina ini yang mewakili pasukan bola sepak wanita Sri Sador Glow Glowing FC turut menjadi buruan setiap jejaka di luar sana kerana dikatakan memiliki ciri-ciri wanita idaman mereka.

Bukan sahaja cantik tapi Nur Indah tidak pernah melupakan batasnya sebagai seorang muslimah dan sentiasa mengenakan pakaian yang patuh syariah ketika bermain bola.

Justeru tidak hairanlah, gadis yang menjadikan bekas penyerang Barcelona, Ronaldinho sebagai idolanya turut dirisik beberapa pengeluar jenama tudung dan syarikat barangan sukan untuk dijadikan sebagai duta produk mereka.

 

Bagi setiap gadis, tawaran sebagai model sudah pastinya tidak akan ditolak mentah-mentah.

Namun berbeza dengan anak bongsu daripada empat beradik ini yang terpaksa menolak tawaran lumayan itu demi minatnya terhadap bola sepak.

Pada masa sama, tawaran itu turut diketepikan kerana mahu memberi tumpuan kepada pengajiannya dalam bidang Diploma Pengurusan Perniagaan di Kolej Poly-Tech Mara Kota Bharu, Kelantan.

Bagaimanapun, Nur Indah yang digelar ‘Ronaldinho Kelate’ sebaik gambar menjadi viral di media sosial tidak menolak akan mempertimbangkan tawaran sebagai model pada masa akan datang.

 

Mengulas lanjut mengenai pembabitannya dalam sukan lasak ini, Nur Indah berkata dia sudah lama meminati bola sepak dan mula aktif bermain futsal selepas tamat tingkatan lima.

Kira-kira setahun bermain futsal sebagai aktiviti riadah bersama rakan-rakan, gadis kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini membuat keputusan untuk menyertai sesi pemilihan bakat bagi pasukan bola sepak wanita Sri Sador Glow Glowing FC.

 

Untuk memantapkan kemahiran permainannya, Nur Indah yang turut meminati pemain Barcelona, Ivan Rakitic akan menonton perlawanan pasukan tersebut di televisyen untuk belajar teknik menggelecek dan menghantar bola.

Mengakui ramai yang memberi sokongan terhadap minatnya, Nur Indah turut kecewa apabila ada yang memperlekehkan kebolehannya di atas padang.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*