Bahasa Melayu Mampu Kuasai Dunia

Share This:

Perkembangan Pesat Ekonomi Asia Tenggara; peningkatan ketara minat di peringkat antara bangsa serta mudah dikuasai menjadikan Bahasa Melayu berpotensi besar menjadi salah satu daripada bahasa pengantara utama dunia.

Pendapat ini dikongsi oleh majoriti para peserta Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) sedang berlangsung bermula dari 23 hingga 26 Julai di sini ketika ini.

Salah seorang peserta yang ditemui Utusan Online, Ma Xiao, 21, dari China menyatakan perkembangan pesat ekonomi negara-negara Asia Tenggara bermakna bahasa utama serantau seperti bahasa Indonesia dan Malaysia akan menjadi penting bagi memudahkan urusan perniagaan dijalankan dengan lancar.

“Keadaan ini disokong dengan minat yang semakin melihat terhadap kedua-dua bahasa berkenaan jika dilihat daripada jumlah pelajar yang mempelajari kedua-dua bahasa ini di universiti-universiti utama di dunia.

“Ini menjadikan potensi kedua-dua bahasa berkenaan sebagai antara bahasa komunikasi utama dunia amat cerah sekali,” kata mahasiswa jurusan bahasa Melayu Universiti pengajian luar Beijing itu ketika ditemui selepas saringan peringkat suku akhir PABM yang berlangsung di sini hari ini.

Pendapat yang sama turut dikongsi oleh peserta yang berasal dari Azerbaijan, Nabiyya Zarbali, 21, yang turut menyarankan agar pihak-pihak berkenaan menambahkan usaha agar lebih banyak tenaga pengajar Bahasa Melayu dilatih dan dihantar mengajar ke luar negara.

“Usaha ini perlu dan amat penting kerana pada ketika ini jumlah tenaga pengajar yang bahasa ibundanya adalah bahasa Melayu amat kurang di luar negara.

“Jika jumlah tenaga pengajar berkenaan dapat disediakan dengan secukupnya pasti jumlah penutur yang benar-benar menguasai bahasa Melayu di peringkat antarabangsa dapat diambah,” jelas pelajar jurusan Pengajian Asing Universiti Negeri Yogyakarta itu.

Ma Xiao dan Nabiyya merupakan dua daripada lima peserta kategori Antarabangsa PABM 2017 yang berjaya melayakkan diri ke saringan separuh akhir yang akan berlangsung di Hotel RHR, Universiti Tenaga Nasional esok.

PABM pada kali ini akan menawarkan hadiah hadiah berupa piala pusingan peserta hadiah tunai berjumlah RM20,000, RM12,000 dan RM8,000 masing-masing untuk pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga bagi setiap kategori.

Peringkat akhir bagi pertandingan ini akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 26 Julai ini.

– UM

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*