Ekspresi Felda : Insiden Tanduo Mimpi Ngeri Buat Kami

Share This:

Ketika meninjau gerai-gerai jualan yang ada di Karnival Ekspresi Felda Negaraku Malaysia sebentar tadi, penulis bertemu dengan satu gerai yang dikendalikan oleh anak peneroka Felda Sahabat, Lahad Datu, Sabah. Pelbagai barangan hasil daripada felda Sahabat dan pelbagai produk dari Sabah dipamerkan oleh wakil Felda berkenaan.

Apa yang menarik adalah, bagaimana mereka dilihat enggan berkongsi kisah tentang insiden pencerobohan pengganas Sulu yang berlaku kira-kira 4 tahun lalu. Ketika ditanyakan kepada salah seorang petugas di situ, dia memberitahu, jika boleh, mereka ingin melupakan terus apa yang berlaku semasa pencerobohan pengganas Sulu berkenaan.

Dia yang enggan diambil gambar dan dikenali memberitahu, insiden berkenaan merupakan detik hitam bagi setiap seorang penduduk di penduduk di Felda Sahabat kerana serangan berkenaan cukup memberi kesan yang amat mendalam buat mereka semua.

Katanya, pada waktu itu, kehidupan penduduk di seluruh Felda Sahabat berada dalam keadaan cukup menakutkan akibat ketidak tentuan keadaan yang telah ditimbulkan oleh pengganas Sulu berkenaan. Ujarnya, mujur tindakan pantas pasukan tentera Malaysia berjaya meredakan keadaan yang cukup tegang pada ketika itu.

Ketika ditanya keadaan semasa di Felda Sahabat hari ini selepas 4 tahun peristiwa berkenaan berlaku, dia berkata, hari ini keadaan sudah kembali seperti sediakala. Cuma kesemua penduduk di Felda berkenaan sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga kerana bimbangkan insiden berkenaan akan berulang semula.

Malah, dia juga mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan khususnya pasukan keselamatan negara yang dilihat cukup komited menjaga keamanan di seluruh kawasan yang pernah terjejas akibat pencerobohan berkenaan.

Walaupun dia akui perlaksanaan zon kawalan keselamatan yang melaksanakan zon darurat di sepanjang pantai Timur Sabah agak menjejaskan sedikit pengerakan mereka, namun dia bersyukur, jika tidak ada langkah keselamatan tambahan seperti ini, kejadian pencerobohan 4 tahun lalu mungkin akan berlaku semula.

Sebelum beredar, dia sempat memberitahu bahawa seluruh penduduk di Felda Sahabat sebenarnya cuba membuang memori pahit berkenaan dari ingatan masing-masing. Sesungguhnya, insiden ini cukup meninggalkan kesan dan ianya menjadi mimpi ngeri buat sleuruh penduduk di Felda Sahabat, Lahad Datu, Sabah.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*