Inilah Cerita Luahan Paling Jujur Berkenaan #FELDA

Share This:

Sempena program Ekspresi FELDA Negaraku 2017, Hari Peneroka FELDA Kebangsaan di Presint 3, Putrajaya sepanjang tiga hari ini orang akan berbicara tentang Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).

Dengan mood yang mahu mensyukuri kejayaan FELDA ini, berikut ada cerita seorang anak jati FELDA yang begitu santai dan begitu berjiwa biasa sebagai rakyat yang juga generasi peneroka FELDA.

Inilah cerita dari Khairul Hakimin Muhammad, seorang insan yang membesar di tanah rancangan FELDA yang dipetik dari laman Facebook FELDA : –

“Belikan mak sos cili dengan kicap sekejap,” Emak hulurkan duit dan aku terus mencapai kunci motor. Motor EX5 kepunyaan abah aku ini biasanya digunakan oleh beliau untuk ke tempat-tempat yang dekat sahaja.

Walau jarak kedai dan rumah hanya sepelaung, naik motor akan jadikan kau hero dan power pada waktu itu.

Aku duduk atas tempatnya, warna hitam legam. Dan kemudian terus memasukkan kunci. Hidup. Terus aku tengok tongkat, ya sudah berangkat. Terus sahaja aku memecut dan menekan gear dua tiga kali. Kahkah. Gila segak woih masa itu.

Keluar dari simpang perumahan guru itu, kena belok kanan. Di hadapan rumah kami betul-betul ada sebuah stesen minyak Petronas. Lepas sahaja kau ke kiri, jalan terus, boleh nampak dah barisan kedai lama yang warna lusuh dan gelap.

Bermula dari kedai makan yang kami selalu pesan mee goreng basah, sampailah ke kedai hujung itu ada sebuah pasar basah. Semua best. Ia seperti sebuah pusat beli belah untuk warga penduduk di situ. Aku berhentikan motor, masuk ke kedai, beli sos dan kicap, bayar dan mahu pulang.

Elok ada seorang makcik mahu menumpang balik. Itu normal waktu itu. Jika kau seorang diri, mereka ini akan minta hantarkan barang dengan makcik-makcik itu sekali kau kena bawa. Maka siap sedialah bakul kau penuh, dengan pakej makcik itu suruh gantung di pemegang belah kiri dan kau kena stabilkan motor kerana di kiri kanan tangan beliau juga ada barang yang penuh. Dia punya gaya membawa motor waktu itu langsung tak ada kacak dah. Hilang semuanya dibawa pergi oleh angin-angin. Cewah.

Di Felda Jengka Dua waktu itu memang terjadinya sifat percaya dengan mudah. Aku yakin di Jengka yang lainnya pun sama. Kerana kawasan kejiranan yang dibangunkan bermula pada tahun 1967 itu akhirnya menjadi gugusan Felda terbesar yang ada dalam negara. Ia mempunyai sebanyak 25 kawasan penduduk yang diberi nama mengikut nombor dan bunga.

Oleh itu satu-satu Jengka itu dinamakan sebagai Jengka 1 (Anggerik), Jengka 2 (Cempaka), Jengka 3 (Dahlia), Jengka 4 (Kemboja), Jengka 5 (Kekwa), Jengka 6 (Keembong), Jengka 7 (Kenanga), Jengka 8 (Kesidang), Jengka 9 (Kesumba), Jengka 10 (Mawar), Jengka 11 (Melati), Jengka 12 (Melor), Jengka 13 (Putri Malu), Jengka 14 (Bunga Raya), Jengka 15 (Semarak), Jengka 16 (Sena), Jengka 17 (Seri Pagi), Jengka 18 (Seroja), Jengka 19 (Siantan), Jengka 20 (Tanjung), Jengka 21 (Teratai), Jengka 22 (Terkis), Jengka 23 (Tonkin), Jengka 24, dan Jengka 25. Dua Jengka yang diakhir tak ada bunga. Ada kumbang sahaja agaknya. Ok tak lawak.

Hampir ke semua tanah rancangan yang mereka bina ini, bermula atas dasar untuk membantu keluarga susah yang memerlukan pekerjaan. Jadi, Felda membukanya dengan baik dengan penstrukturan yang bermula dengan menyusun asset manusia yang ada. kemudian tanah ditarah dengan tangan manusia tadi yang punya kecekalan hati dan wajanya jiwa untuk terus berada di tanah yang akan mereka majukan.

Mereka ini datang dengan semangat dan mahu kerja sahaja. Yang lainnya terbina sendiri. Ia seperti sebuah keluarga kecil kemudiannya menjadi besar kerana seronoknya berbahagia bersama yang tersayang.

Aku pun hantarlah makcik ini ke rumahnya. Siap parking motor, angkat sikit-sikit dari yang ada di tangan kemudiannya ulang lagi ambil yang dari dalam bakul. Siap semuanya, makcik tersebut hulur RM2. Punyalah aku suka dapat upah begitu. Katanya nanti isi minyak motor.
Aku pun pusing, konon nak lambai, tengok beliau sudah entah di mana-mana. Macam silap mata dalam filem zaman ini, bas lalu sekejap pun dah hilang dari pandangan. Menipu betul.

Sampai sahaja di rumah, aku pun beri salam. Kahkahkah. Emak aku tanya, “mana sos cili dan kicap?” Kahkahkah sekali lagi, aku pun pergi tengok dalam bakul motor. Tak ada. Sahih terangkat sekali dengan barang
makcik tadi. Aku pun bergaya sekali lagi naik motor EX5 abah aku. Hidupkan dan terus memecut. Sampai depan rumah, makcik itu dah tunggu rupanya.

Siap tangan kiri dia di pinggang. Dia senyum sahaja tengok aku sampai.

“Nah!” terus dia hulur plastic putih tersebut. Aku pun pulang dengan gembira.

Itulah keseronokan masa duduk di Felda dulu kala. Kami-kami ini hidup berjiran dengan kesepakatan yang cukup baik. Malah, setiap sebuah rumah yang ada itu mengenali rumah yang lain. Berapa orang dalam rumah tersebut, berapa orang anak, ibu bapanya yang sihat atau tidak, semuanya kenal.

Oleh sebab itulah muafakat di kalangan orang Felda ini senang dibentuk. Mereka ini pernah susah sama-sama. Dari jalan bertanah merah. Rumah dua bilik yang dibina dengan kayu kayan, tiada eletrik dan air. Mereka bergabung dan mengerah tenaga membuka satu demi satu tanah rancangan dan kemudiannya mengusahakan ladang yang sudah disusun rapi.

Kau bayangkanlah, mereka yang mahu menyertai tanah rancangan ini pada waktu itu mesti mempunyai jiwa yang cekal. Dari Melaka sampailah ke Utara sana, ada sahaja mereka ini yang datang dengan berbekal sehelai dua baju. Kemudian setiap peluh mereka itu dibayar dengan duit yang sangat sedikit waktu itu. Sampailah ke hari ini, ada yang sudah berjaya dengan anak-anak, tanah juga masih diusahakan bersama-sama.

Sifat saling percaya yang ada sesama jiran ini memang digunakan sebaiknya. Dan sampai sekarang aku tak jumpa kejiranan yang baik seperti ini di mana-mana.
Inilah yang berjaya dibangunkan dan dibina secara turun temurun bermula tahun 1967 tersebut. Walaupun Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka dibubarkan pada tahun 1997, namun Felda Jengka tetap mempunyai nilai kejiranan yang sama.

Jika ditanya aku di mana yang paling seronok aku tinggal, aku akan jawab, Jengka. Abah aku seorang guru, jadinya memang selalu kena pindah randah apabila beliau diminta bertugas di sana sini. Kami anak-anak, ikut sahaja.

Nak dibandingkan dengan hari ini, Ya Tuhan, berbeza sangat-sangat. Hari ini, ia seperti sebuah perumahan elit. Ada banglo besar, ada juga yang siap buat deko dan landskap di luar rumah. Dalam jangan ceritalah, semua ada.

Dengar kata, esok akan ada hari peneroka peringkat kebangsaan. Aku duk baca juga yang program tahun ini merupakan yang paling besar pernah dirancang. Dari meraikan belia dengan program sukan dan bola, hinggalah ke program ibu-ibu dan para peneroka, mungkin ini jadi macam hari raya buat mereka.

Kita mungkin melihat para peneroka ini hanya membuka ladang dan mereka sendiri mengusahakannya dan dapat hasil. Namun kawan, percayalah, para peneroka ini antara penyumbang besar kepada ekonomi negara.

Pada tahun 2003 sahaja, nilai eksport minyak sawit adalah sebanyak RM26.15 billion yang bersamaan dengan RM1,544 per tan. Dan sekiranya kalian nak tahu, sehingga hari ini Malaysia merupakan negara terbesar yang mengeksport minyak sawit kepada serata dunia.

Dan segala perit jerih untuk mendapatkan buah, dari menanam berjuta anak benih, kemudian membina rumah, mendidik anak-anak, membuka hubungan baik sesama mereka akhirnya menjadikan kesemua tanah rancangan Felda yang mengusahakan sawit dan getah ini menjadi anak emas paling berharga pernah ada dalam negara.

Kesemua tanah rancangan mempunyai nilai yang tersendiri. Yang sama pula ialah muafakat, saksama dan terus hidup dalam kejiranan yang baik dan bagus. Semoga ia kekal hingga bila-bila.

Tahniah Felda. #BalikAsal.

Selamat Hari Peneroka 2017 buat semua ayah dan emak kawan-kawan di Felda Jengka 2 dan 3, Selamat ke Putrajaya pada 21-23hb Julai 2017! Enjoy! pru14.tv

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*