Jemaah Haji Gembira Felda D’Saji Bakal Buka Cawangan Di Madinah

Share This:

BAGI mereka yang pernah menjejakan kaki ke Tanah Suci Mekah, kewujudan D’Saji merupakan satu “rahmat” ketika jauh dari tanahair. Ianya dapat mengubat kerinduan pada Malaysia disamping menyediakan pilihan selain daripada makanan asasi negara Arab.

Kini Felda D’Saji Sdn Bhd (D’Saji) berhasrat menjadi pembekal perkhidmatan industri hospitaliti global halal terunggul dengan keputusan mereka untuk membuka cawangan restorannya di Madinah tidak lama lagi.

Arab Saudi menjadi tapak untuk D’Saji mengembangkan sayap perniagaan. Ketua Pegawai Eksekutif Felda Middle East Sdn Bhd Syed Fadhil Syed Sofie berkata, perancangan cawangan ketiga itu adalah berdasarkan kejayaan operasi D’Saji yang mempunyai restoran di Makkah dan Jeddah.

Beliau berkata pencarian tapak sedang giat dijalankan bagi memastikan lokasi di ‘kota cahaya’ itu menjejaki kejayaan sebagaimana dua lokasi di Tanah Suci.

“D’Saji di Madinah akan menawarkan restoran makanan Melayu dan Arab secara ala-carte berbanding di Makkah, yang menawarkan makanan yang siap dimasak dan dipilih secara berhadapan,” katanya dalam wawancara Ekspresi Felda Negaraku Malaysia sempena sambutan Hari Peneroka Felda 2017 di Putrajaya pada 21 – 23 Julai ini.

Beliau berkata ia juga selaras hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memperkenalkan makanan Malaysia dan memudahkan jemaah Malaysia di Madinah merasai hidangan dan keenakan masakan seperti di rumah.

Restoran D’Saji Makkah menghidangkan menu makanan popular Malaysia seperti nasi lemak, roti canai, char kuey tiaw dan juga makanan segera seperti pizza serta hot dog, selain meluaskan perkhidmatan katering ke kawasan sekitar seperti hotel dan pangsapuri di Tanah Suci.

Bagi restoran di Jeddah yang dibuka sejak Jun 2015 pula, pelanggan terdiri daripada agensi pelancongan Malaysia dan negara ASEAN seperti Brunei, Indonesia dan Singapura, tidak terkecuali masyarakat Arab di sana, katanya.

Menyingkap kejayaan D’Saji di tanah air, Ketua Pegawai Eksekutif D’Saji Ahmad Zaki Abdullah berkata ia mempunyai 15 tahun pengalaman dalam perkhidmatan katering dan terkenal dalam kalangan agensi kerajaan, korporat dan individu yang memerlukan perkhidmatan penyediaan makanan berkualiti pada harga berpatutan.

D’Saji dimulakan sebagai organisasi katering dan dimiliki FELDA dan Koperasi Permodalan FELDA Berhad sepenuhnya sehingga dibentuk menjadi satu unit pada 1984 apabila fokusnya diarahkan kepada perkhidmatan kafetaria, FELDA Resorts dan asrama pelajar FELDA.

Bermula pada 1991, syarikat ini memperluaskan perkhidmatan dengan perkhidmatan katering luar yang memenuhi keperluan pelanggan sektor kerajaan dan organisasi korporat di Lembah Klang.

D’Saji kemudiannya terlibat dalam aktiviti jamuan dengan pelancaran Dewan Merak Kayangan dan kemudian Dewan Perdana Felda, yang menawarkan tempat sesuai bagi majlis makan malam tahunan, konvensyen, seminar dan kursus serta majlis perkahwinan.

Didukung lebih 500 kakitangan, Ahmad Zaki berkata kepuasan pelanggan menjadi keutamaan dan setiap rasa makanan disajikan melalui proses penyelidikan dan pembangunan (R&D).

“D’Saji secara konsisten memeriksa makanan dan minuman sebagai pematuhan halal seperti digariskan Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), juga selaras peraturan yang digariskan Kementerian Kesihatan Malaysia dan program kebersihan makanan lain yang berstandard dunia,” katanya.

D’Saji terdiri daripada 90 peratus tenaga warga tempatan, mereka mempunyai rangkaian restoran dan dewan untuk meraikan sebarang majlis antaranya Dewan Banquet Menara Felda di Persiaran KLCC, Dewan Gemilang Kelana Jaya dan Dewan Besar Tun Rahah di Bukit Bintang.

Selain itu, ia juga beroperasi di Restoran Terapung D’Saji KL Titiwangsa; Dewan Residensi UTM, Kuala Lumpur; Red Carpet Avenue The Strand Mall; Laman Warisan Pertanian Putrajaya; Orchad Villa Gombak; Kajang Perdana Avenue; Dewan ISEF Bangi dan Lake Cempaka Villa, Bangi.

Mempunyai prestasi unggul dalam penyediaan makanan untuk majlis, D’Saji juga menguruskan penyediaan makanan untuk anak-anak generasi Felda di asrama dan institusi yang dikhaskan untuk pendidikan anak-anak Felda.

Antara asrama diurus oleh D’Saji adalah Asrama Semai Bakti, Kuala Lumpur; Asrama Semai Bakti, Kuantan; Asrama Semai Bakti Johor Bahru, Kolej Integrasi Ilmu, Mempaga, Kolej Integrasi Ilmu Raja Alias dan Maktab Rendah Sains Mara, Trolak.

Menyorot prestasi anak syarikat FELDA ini, D’Saji juga diberi kepercayaan mengurus perkhidmatan katering dan kafeteria beberapa pusat latihan syarikat multinasional seperti Bank RHB dan CIMB di Bangi, Selangor.

Kini Felda D’Saji turut tersenarai dalam saringan akhir pemilihan untuk menguruskan Pusat Latihan Kepimpinan Petronas di Bangi serta beberapa kontrak institusi berkaitan kerajaan lain.

“D’Saji bersedia, lengkap dan bermotivasi untuk menjalankan perkhidmatan di lebih banyak pusat latihan sama ada oleh syarikat yang berpangkalan di Malaysia atau negara luar,” katanya penuh yakin.

Bagi memastikan ilmu dan kepakaran D’Saji diwarisi generasi muda terutama anak muda Felda, D’Saji tidak ketinggalan berkongsi kepakaran mereka dengan pelajar yang ditaja Yayasan Felda dalam bidang perhotelan dan kulinari.

Menurut Ahmad Zaki, sejak lima tahun lalu D’Saji menyediakan tenaga pengajar bagi memastikan 200 anak Felda mendapat manfaat daripada perkhidmatan yang disediakan di entiti berkenaan setiap tahun.

“Mereka yang mendapat manfaat daripada tenaga pengajar ini diserap bekerja dengan kami sama ada di bidang perhotelan atau kulinari,” katanya.

Katanya D’Saji kini aktif mencari rakan perniagaan baharu untuk melancarkan pakej perkahwinan dan acara serta majlis eksklusif yang memerlukan pelbagai sokongan katering.

“Usaha ini akan membolehkan pelanggan kami untuk mencari perkhidmatan dan makanan yang menarik di rumah mereka, selain daripada unit katering luaran yang membawa perkhidmatan dan makanan kami ke rumah dan pejabat mereka,” katanya.

Para jemaah haji di Madinah pasti ternanti-nanti pembukaan restoran D’Saji di kota suci tersebut. Langkah Felda itu dilihat amat tepat pada masanya.

– PRU14.tv

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*