Isu Tuntutan Gaji Bakal Selesai

Share This:

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan menyelesaikan isu tuntutan gaji lima bekas jurulatih negara sebelum hujung bulan ini.

“Isu ini saya akan selesai sebelum hujung bulan ini. Saya sudah bercakap dengan Presiden Persatuan Jurulatih Malaysia B. Sathianathan dan minggu ini beliau akan berjumpa dengan saya.

“Kita sudah bayar pampasan tiga bulan pada bulan Mei lalu. Tetapi perlu saya katakan FAM tidak kejam, kita telah bayar ikut semua peraturan. Kita boleh berbincang dan kita juga sudah ada formula dan akan berjumpa dengan mereka untuk selesaikannya,” jelas Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

Lima jurulatih yang menuntut hak mereka ialah bekas penolong jurulatih skuad senior Hassan Sazali Mohd Waras, bekas jurulatih kecergasan skuad senior Reuben Jude, bekas penolong jurulatih B-22 Aminuddin Hussin, bekas jurulatih penjaga gol B-22 Megat Amir Faizal Ibrahim dan bekas jurulatih kecergasan B-22 Mashidee Sulaiman.

Isu berkenaan mula timbul susulan tindakan kepimpinan baru FAM yang memecat barisan kejurulatihan skuad senior dan B-22 pada Mac lalu dengan tempat Frank Bernhardt selaku pengendali B-22 diisi oleh Kim Swee manakala kekosongan ketua jurulatih Harimau Malaya disandang Nelo Vingada.

Lima bekas jurulatih negara itu melahirkan rasa kecewa dengan tindakan yang mereka anggap kurang profesional kerana FAM enggan membayar keseluruhan baki gaji sebaliknya hanya membayar gaji bagi tiga bulan sahaja.-Bernama

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*