Lim Kit Siang Dan Mahathir Saling Memerlukan Antara Satu Sama Lain

Share This:

Dalam arena politik hari ini, antara elemen yang kerap diguna pakai oleh pihak pembangkang adalah kebergantungan antara satu sama lain. Lihat sahaja bagaimana DAP bergantung harap kepada PAN dan PPBM untuk memecah belahkan undi kaum Melayu disamping mengharapkan PKR mampu menjadi orang suruhannya dalam banyak perkara.

Paling menarik untuk disaksikan adalah bagaimana kebergantungan nasib politik yang berlaku terhadap Penasihat Agung DAP, Lim Kit Siang dengan bekas musuh ketatnya yang kini menjadi Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir. Agak menarik sebenarnya apabila melihat cara mereka saling berusaha mengambil hati antara satu sama lain.

Umum mengetahui bahawa sepanjang Mahathir menjadi Perdana Menteri, Lim Kit Siang adalah musuh politiknya yang paling utama. Bukan sekali, malah dua kali Kit Siang pernah di penjarakan atas alasan yang dengkel.

Namun benarlah seperti kata-kata pengamal politik. Dalam arena politik, tiada musuh yang kekal dan tiada kawan yang tidak akan menjadi musuh. Hari ini, setelah Mahathir meninggalkan UMNO, antara individu yang menerimanya adalah Lim Kit Siang, orang yang telah dihina, di keji dan dipenjarakan olehnya sewaktu Mahathir masih berkuasa.

Persoalannya, kenapa semua ini boleh terjadi? Jawapannya mudah, baik Lim Kit Siang mahupun Mahathir, kedua-duanya saling memerlukan antara satu sama lain. Di pihak Kit Siang, dia amat memerlukan Mahathir untuk memporak perandakan UMNO dan Barisan Nasional memandangkan Mahathir pernah mengetuai UMNO dan Barisan Nasional sebelum ini.

Disebalik semua itu, Lim Kit Siang juga amat berharap agar undi kaum Melayu akan terpecah dengan menyokong apa jua tindakan Mahathir. Kit Siang sedar, sekiranya undi kaum Melayu solid untuk UMNO dan Barisan Nasional, amatlah sukar buat DAP mengetuai Pakatan Harapan menumbangkan Barisan Nasional pada masa akan datang.

Sebagai imbalannya, Lim Kit Siang secara terbuka menerima baik kehadiran Mahathir dan PPBM dalam Pakatan Harapan, sama seperti apa yang dia lakukan semasa penubuhan Parti Amanah Negara, kira-kira dua tahun lalu. Kit Siang akan melakukan apa sahaja yang diminta Mahathir termasuk merestui kemahuan Mahathir untuk meletakkan Datuk Seri Mukhriz sebagai calon Perdana Menteri.

Namun begitu, Kit Siang sendiri tidak terlepas dari menerima kecaman dari ahli partinya sendiri. Hari ini, DAP telah terbahagi kepada dua kem iaitu ahli DAP yang masih menjulang idealogi Malaysia Malaysian dan hak samarata kaum selain menetang penerimaan Kit Siang terhadap Mahathir. Satu kem lagi, menyokong penuh apa jua tindakan Kit Siang dan Mahathir.

Apa yang menarik untuk disaksikan adalah, sehingga bila gabungan dua bekas musuh politik ini mampu bertahan. Tidak sukar untuk membaca riak wajah Lim Kit Siang yang kadangkala agak jengkel dengan apa yang dilakukan Mahathir. Malah, kadangkala, Mahathir sendiri seolah-olah menumpang kekuatan Kit Siang di dalam Pakatan Harapan untuk bertindak sesuka hatinya.

Mungkin pada pandangan para penyokong mereka, gabungan dua ahli politik veteran ini adalah gabungan terbaik dengan penyertaan Anwar dan Mat Sabu. Namun, jika bersandarkan kepada sejarah, gabungan mereka ini adalah gabungan yang cukup rapuh dan langsung tidak mempercayai antara satu sama lain. Besar kemungkinan, gabungan mereka akan terpecah seperti mana yang berlaku dalam Pakatan Rakyat sebelum ini.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*