Songlap RM4 Juta, SPRM Tahan Dua Beranak

Share This:

Dua beranak yang menyeleweng kira-kira RM4 juta milik Pusat Pembangunan Kemahiran Perindustrian Melaka (MISDEC) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam, lapor BH Online.

Kedua-duanya berusia 76 dan 43 tahun yang juga pegawai kanan agensi berkenaan ditahan dalam satu operasi dilancarkan SPRM Melaka selepas disyaki menyalahguna kuasa untuk meluluskan pemindahan wang milik MISDEC ke akaun peribadi pada tempoh 2014 sehingga 2015.

Suspek dijangka dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini, untuk direman bagi membantu siasatan.

Menurut sumber BH, SPRM menyita hampir RM600,000 dalam sebuah akaun syarikat selain merampas kenderaan pacuan empat roda serta perkakasan syarikat bernilai hampir RM350,000.

“MISDEC adalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang mendapat peruntukan daripada Kementerian Sumber Manusia serta Kerajaan Negeri Melaka untuk membina sebuah kolej berasaskan latihan kemahiran industri dan memperuntukkan RM4.5 juta bagi tujuan latihan.

“Namun sehingga kini, siasatan mendapati tiada sebarang latihan dilaksanakan. Malah kedua-dua suspek itu turut dipercayai menubuhkan sebuah syarikat dan memindahkan hampir kesemua wang itu ke dalam akaun syarikat terbabit bagi tujuan peribadi,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki yang mengesahkan penahanan berkenaan berkata, pihaknya masih dalam proses mengumpul bukti.

Kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan boleh sabit hukuman denda lima kali nilai rasuah atau RM10,000 atau mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*