Isu CEC DAP : R.O.S, Sila Tunjukkan Ketegasan Sebenar

Share This:

Sejak pengumuman yang dibuat oleh Lim Guan Eng yang menegaskan DAP tidak akan sesekali mengadakan semula pemilihan dalaman parti, ramai yang ingin tahu apakah reaksi balas daripada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) berhubung isu ini. Ini bukanlah isu baru yang harus mengejutkan ramai pihak. Ini adalah isu lama yang telah diperam sejak lebih 3 tahun yang lalu.

Dalam hal ini, mungkin ada yang memandang sinis kemampuan sebenar ROS dalam menangani keegoan DAP ini. Dari sudut politik, apa yang disuarakan Lim Guan Eng itu sebenarnya adalah keengganan diri dan bapanya, Lim Kit Siang untuk mengadakan pemilihan semula kerana bimbang, kedudukan mereka dan para pengikutnya akan terjejas dengan suara dan kehendak sebenar akar umbi DAP.

Di satu sudut lain pula, keengganan DAP akur kepada arahan yang dikeluarkan ROS ini akan menimbulkan satu lagi polemik terbaru. Pasti ramai yang tertanya-tanya, apa reaksi balas ROS berhubung perkara ini? Beranikah ROS mengambil tindakan tegas terhadap DAP seperti mana yang terkandung di dalam undang-undang pertubuhan?

Sehingga kini, difahamkan, antara tindakan awal yang boleh diambil oleh ROS adalah mengeluarkan notis meminta sesebuah parti atau pertubuhan mengadakan pemilihan semula sekiranya terdapat keraguan berhubung pemilihan sebelum ini. Kemudian, mereka akan mengeluarkan satu lagi notis akhir iaitu peringatan terakhir kepada sesebuah parti atau pertubuhan untuk akur kepada arahan yang dikeluarkan ROS.

Jika ini juga diingkari, ROS boleh mengambil tindakan menggantung sementara sesebuah parti atau pertubuhan sehingga mereka akur kepada arahan yang dikeluarkan. Jika ini juga gagal diikuti, barulah ROS akan membatalkan sesebuah parti atau pertubuhan setelah semua proses ini lengkap.

Namun begitu, berdasarkan apa yang telah berlaku sejak lebih 3 tahun yang lalu, dapat difahami bahawa DAP terutamanya Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang sebenarnya langsung tidak gentar dengan apa jua tindakan yang bakal di ambil oleh ROS. Manakan tidak, sesi pemilihan 2012 dan 2013 yang kini dipertikaikan pun masih gagal diambil tindakan sewajarnya oleh ROS.

Justeru, mungkin sahaja DAP dan Lim Guan Eng berpendapat, jika kes lama pun ROS tidak berani untuk ambil tindakan, kenapa baru hari ini jabatan berkenaan mahu mengambil tindakan keatas mereka? Malah, dalam dua siri kenyataan Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke di laporkan berkata, dia tidak faham kenapa DAP harus dikenakan tindakan tegas kerana menurutnya, DAP langsung tidak bersalah.

Jika Anthony Loke sendiri sudah berani mempertikaikan tindakan terbaru ROS ini, maka difikirkan, sudah tiba pada masanya ROS bertindak tegas tanpa memperdulikan apa jua sentimen atau fitnah yang akan direka oleh para pemimpin dan ahli DAP. Undang-undang harus dipatuhi dan ditegakkan walaupun semua orang tahu, DAP hari ini mendapat perlindungan secara tidak sengaja oleh Bar Council yang diketahui lebih memihak kepada mereka.

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*