Pada Jun 2018, Dua Lagi Lubuk Kelah Bakal Beroperasi

Share This:

Menjelang Jun tahun depan, dua lagi lubuk kelah akan dibuka di Santuari Kelah, Sungai Petang, Tasik Kenyir di sini yang dijangka beroperasi sepenuhnya.

Timbalan Pengurus Besar (Operasi) Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa berkata, dua lokasi itu adalah Lubuk Kelah dan Lubuk Lampan yang terletak berdekatan pusat pemuliharaan dan rekreasi sedia ada di Lubuk Kejor.


Katanya, tumpuan ketika ini adalah pada kerja-kerja menjinakkan ikan kelah di lokasi yang telah dikenalpasti itu yang meliputi rutin memberi makan kepada hidupan air tersebut bagi menyesuaikannya dengan kehadiran manusia.


“Permintaan ke Lubuk Kejor memang tinggi namun, jumlah pengunjung terpaksa dihadkan kepada 100 orang sahaja setiap hari jadi, dengan kewujudan dua lubuk baharu itu kita jangka Santuari Kelah ini mampu menerima 200 lagi pelawat untuk ke sini,” katanya kepada pemberita selepas program Kenali Kenyir 01 Bersama Media Terengganu di Tasik Kenyir di sini kelmarin.


Yang hadir sama, Pengurus Promosi dan Korporat, Bahagian Pelancongan dan Pembangunan Tasik Kenyir, Ketengah, Ahmad Fathil Abd. Ghani.


Sementara itu, Santuari Kelah yang terletak kira-kira 21 kilometer dari Jeti Pengkalan Gawi, dibangunkan dan diselia oleh Ketengah selaras usaha pemuliharaan spesies ikan kelah yang semakin terancam selain mempromosi aktiviti rekreasi sebagai galakan tarikan pelancongan di Tasik Kenyir.

-pru14.tv-

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*