Malaysia Henti Keluarkan Permit Ambil Pekerja Dari Korea Utara

Share This:

Malaysia menghentikan pengeluaran permit kerja kepada buruh dari Korea Utara, menurut laporan agensi berita Jepun, Kyodo.

Langkah ini diambil kemugkinan kerana hubungan dingin antara Pyongyang dan Kuala Lumpur selepas kematian Kim Jong Nam, abang tiri kepada Kim Jong Un, Pemimpin Tertinggi Korea Utara Kim Jong Un di KLIA2 pada Februari lepas.

Laporan itu menyatakan Malaysia dan Korea Utara pernah mempunyai hubungan baik. Bagaimanapun, selepas pembunuhan Jong Nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Februari lalu, hubungan kedua-dua negara menjadi renggang.

Beberapa warga Korea Utara terbabit dalam pembunuhan itu dan kedua-dua negara mengusir duta masing-masing serta menyekat warganegara lawan meninggalkan negara mereka.

Terdapat kira-kira 1,000 warga Korea Utara yang bekerja di Malaysia, kebanyakannya dalam sektor perlombongan arang batu dan pembinaan di Sarawak. Mereka dikatakan sudah pulang ke tanah air.

Kyodo melaporkan sebuah restoran Korea di Kuala Lumpur turut ditutup dan pekerja pulang ke negara itu pada Mei lalu, apabila permit kerja mereka tidak diperbaharui.

Menurut laporan itu, sekatan ekonomi unilateral yang dilaksanakan Malaysia sejajar permintaan Amerika Syarikat untuk memotong sumber dana yang boleh digunakan Korea Utara untuk program pembangunan nuklear dan peluru berpandu balistik.

Katanya, Korea Utara menghantar puluhan ribu pekerjanya ke China, Rusia, Asia Tenggara dan negara lain untuk mendapat mata wang asing yang diperlukan bagi membiayai program senjata.

Laporan itu berkata, jika negara lain mengikut jejak Malaysia, ia boleh memberi tamparan serius kepada Pyongyang. Selasa lalu, Kyodo memetik Setiausaha Negara AS, Rex Tillerson berkata, anggaran 50,000 hingga 80,000 warga Korea Utara dihantar ke negara lain, terutamanya ke Rusia dan Chian sebagai “buruh paksa”.

Tillerson berkata: “Negara bertanggungjawab tidak boleh membiarkan ini berterusan dan kita terus menggesa mana-mana negara yang mengambil pekerja Korea Utara sebagai buruh paksa untuk menghantar mereka pulang.” – pru14.tv

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*