Malaysia Menang 3-2 Tewaskan India, Layak Ke Piala Dunia Hoki 2018

Share This:

Malaysia menewaskan India 3-2 dalam perlawanan suku akhir, Pusingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di London pada Khamis, untuk melayakkan diri ke Piala Dunia Hoki Lelaki 2018 yang bakal berlangsung di India.

Tempat keempat teratas sudah mencukupi untuk skuad bimbingan Stephen Van Huizen melayakkan diri ke Piala Dunia untuk kali kelapan selepas layak sebanyak tujuh kali – 1973, 1975, 1978, 1982, 1998, 2002 dan 2014.

Dalam perlawanan menentang India di Pusat Hoki dan Tenis Lee Valley yang disiarkan menerusi sebuah stesen televisyen berbayar, Malaysia mendahului menerusi pakar pukulan sudut, Muhammad Razie Abdul Rahim pada minit ke-19 sebelum Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil menambah jaringan, seminit kemudian.

Bagaimanapun, India bangkit dan menjaringkan dua gol pantas menerusi Ramandeep Singh pada minit ke-24 dan minit ke-26.

Muhammad Razie menjadi wira Malaysia apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-48 bagi menempat tempat pasukan negara ke Piala Dunia.

Malaysia akan bertemu Argentina di perlawanan separuh akhir Sabtu ini selepas pasukan dari Amerika Selatan itu menewaskan Pakistan 3-1 dalam satu lagi perlawanan suku akhir.

Untuk rekod, kedua-dua pasukan pernah bertemu pada pusingan awal Kumpulan A pada 16 Jun lepas yang mana Argentina menewaskan Malaysia 5-2. – pru14.tv

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*