PMSP Gesa Kerajaan Halang Individu Disiasat RCI Keluar Negara

Share This:

Selepas Kabinet bersetuju menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat kerugian akibat skandal pertukaran mata wang asing (Forex), semalam, Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) hari ini menggesa kerajaan membekukan akaun dan menyekat pergerakan mereka yang bakal disiasat daripada pergi ke luar negara.

Presiden PMSP, Ramesh Rao berkata tindakan itu perlu untuk memastikan siasatan RCI berkenaan berjalan lancar tanpa perlu menunggu pihak-pihak berkaitan mungkin mengambil keputusan ke luar negara untuk mengelak disiasat.

Selain itu, akaun-akaun tertentu yang mungkin ada kaitan dengan skandal berkenaan juga perlu diambil tindakan untuk dibekukan supaya dana atau bukti yang berada di dalam akaun berkenaan tidak boleh diubah atau dikeluarkan.

“Kita kena siasat dengan betul-betul terperinci skandal ini kerana ia sudah berlalu lama dan mungkin ada bukti yang sudah lama dan ia perlu didapatkan semula.

“Individu yang terlibat juga perlu dipanggil dan mereka ini perlu dihalang dari pergi keluar negara mengelak siasatan dijalankan ke atas mereka,” kata Ramesh.

Jika itu berlaku siasatan akan mengambil masa yang lama untuk diselesaikan dan ia akan menyukarkan tugas anggota RCI yang akan dilantik nanti.

Ramesh juga berterima kasih kepada kerajaan kerana mendengar permohonan daripada rakyat dan pihak NGO kerana PMSP dulu juga begitu lantang menggesa kerajaan mewujudkan RCI supaya skandal Forex sekitar tahun 90-an ini disiasat secara terperinci.

“Saya difahamkan laporan Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan sebelum ini dalam isu ini mendapati kerugian yang berlaku adalah lebih besar daripada yang dilaporkan kepada Kabinet sebelum ini.

“Berapa kerugian yang dialami oleh Bank Negara mesti disiasat dengan sepenuhnya dan laporan itu nanti kita bentangkan untuk pengetahuan rakyat,” kata Ramesh.

Bagaimanapun, setakat ini, Kabinet belum menyatakan bila anggota RCI berkenaan akan mula ditubuhkan. – pru14.tv

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*