Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak Dirasmikan PM Najib

Share This:

Hari ini sejarah tercipta apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merasmikan Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak Istana Kehakiman di Putrajaya, hari ini khas untuk mengendalikan prosiding jenayah seksual melibatkan kanak-kanak sebagai mangsa.

Najib berkata mahkamah pertama seumpamanya itu di Malaysia dan Asia Tenggara dapat mempercepat dan menguruskan semua prosiding serta perbicaraan kes jenayah seksual melibatkan kanak-kanak dengan lancar.

Beliau berkata mahkamah itu akan memberi tumpuan kepada kes seperti pornografi, antun seksual dan serangan seksual selaras dengan Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, yang akan dikuatkuasakan dalam masa terdekat.

Mahkamah berkenaan juga dijangka mengendalikan kes pertamanya pada 4 Julai ini, kata perdana menteri sambil menyarankan supaya dirangka Garis Panduan Khas untuk mengendali kes kesalahan seksual melibatkan kanak-kanak di mahkamah baharu itu.

“Garis panduan khas yang bakal dirangka ini perlulah menepati kehendak dan keperluan saksi kanak-kanak serta selaras dengan amalan terbaik yang dilaksanakan di negara-negara lain di dunia,” katanya menurut laporan BERNAMA.

Majlis perasmian mahkamah itu turut dihadiri isteri Perdana Menteri yang juga Penaung Yayasan PERMATA Datin Seri Rosmah Mansor, Ketua Hakim Negara Tan Sri Raus Sharif, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Najib berkata satu jawatankuasa kerja yang melibatkan pihak mahkamah, Jabatan Peguam Negara dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta beberapa badan-badan bukan kerajaan (NGO) kanak-kanak termasuk Tabung Darurat Kanak-Kanak Antarabangsa Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF) perlu diwujudkan untuk merangka garis panduan khas tersebut.

Dengan adanya mahkamah itu, perdana menteri berharap kes-kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak dapat diselesaikan secepat mungkin, seboleh-bolehnya kurang dari satu tahun, berbanding kini yang biasanya berlarutan sehingga beberapa tahun.

“Dalam kes kanak-kanak, kalau kita lihat, keadaannya unik. Misalnya, ketika kanak-kanak berumur 16 tahun menghadapi penderaan seksual dan kes berpanjangan sehingga berumur 18 tahun ke atas, dia sudah menjadi dewasa dan bukan juvana, rasa untuk memberi keterangan sudah tiada. Sebab itu, signifikan untuk mempercepatkan kes didengar dan diselesaikan,” katanya.

Buat permulaan, Najib berkata Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak itu akan mendengar kes-kes yang berlaku di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Insya-Allah, penubuhan mahkamah ini nanti akan kita perluaskan secara berperingkat ke semua 13 negeri di seluruh Malaysia,” katanya.

Mahkamah khas itu akan dikendalikan oleh seorang Hakim Kanan Mahkamah Sesyen yang berpengalaman luas selain mempunyai pendakwa raya yang memiliki kepakaran khusus dalam jenayah seksual kanak-kanak, kata beliau.

“Penubuhan mahkamah khas ini turut mengambil kira persekitaran yang mesra dan sesuai dengan kanak-kanak dengan tujuan menyediakan kemudahan bagi memenuhi keperluan saksi kanak-kanak sebagai mangsa jenayah seksual,”kata perdana menteri.

Najib berkata penubuhan Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak–Kanak itu dilihat sebagai komponen penting selaras dengan pelaksanaan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak.

Sehubungan itu, Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara, pihak mahkamah, Majlis Peguam dan badan bukan kerajaan (NGO) akan melaksanakan program pembangunan kapasiti, latihan serta kursus bagi para hakim dan timbalan pendakwa raya yang akan mengendalikan kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.

Sementara itu, Md Raus berkata sebanyak 56 kes dibawa dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Shah Alam dan Petaling Jaya ke mahkamah khas berkenaan.

Beliau memberitahu media bahawa bekas Hakim Mahkamah Sesyen Klang dilantik untuk membicarakan kes di mahkamah khas itu dengan kes pertama yang akan diadakan pada 4 Julai ini membabitkan kes rogol.

“Prestasi mahkamah khas ini akan sentiasa dipantau. Saya berharap semua pihak terlibat akan memberi kerjasama padu untuk memastikan matlamat penubuhan mahkamah khas ini tercapai,”katanya.

Menurutnya mahkamah khas sama dirancang ditubuhkan di Johor, Pulau Pinang dan Selangor pada hujung tahun ini atau tahun depan.

Kajian terperinci akan dijalankan berdasarkan statistik kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak yang dilaporkan bagi mengenal pasti keperluan di negeri-negeri lain.

Ditanya sama ada media boleh mengikuti prosiding di mahkamah khas itu, Md Raus berkata ia bergantung kepada keputusan hakim namun, media tidak dibenarkan memasuki bilik saksi kanak-kanak.

“Sekiranya hakim mengumumkan ia adalah mahkamah tertutup, oleh itu, anda (media) mesti keluar,” katanya. – pru14.tv

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*