Kes Buli Nhaveen: Empat Remaja Dituduh Bunuh, Dua Suspek Menangis Ketakutan

Share This:

Dua daripada empat tertuduh kes pembunuhan T Nhaveen, menangis teresak-esak di Mahkamah Majistret di Georgetown, hari ini.

Mereka menangis sebaik sahaja nampak saudara-mara di dalam mahkamah sebelum memujuk dan menenangkan kedua-duanya sebelum sesi bersidang.

Empat tertuduh ialah J Ragesuthen dan S Gokulan, kedua-duanya 18 tahun dan dua lagi berusia 17 tahun.

Mereka dituduh membunuh Nhaveen di depan Pusat Pembelajaran Karpal Singh di Jalan Kaki Bukit, Bukit Gelugor di sini pada 9 Jun lalu antara 11 malam hingga 12 tengah malam.

Mereka berdepan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Majistret Mohamed Amin Shahul Hamid menetapkan 28 September sebagai sebutan kes.

Mereka juga dituduh di mahkamah sesyen di sini kerana menyebabkan kecederaan parah terhadap T Previin, 19, menggunakan topi keledar di tempat dan masa yang sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda dan sebatan.

Hakim Irwan Suainbon tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 21 Ogos sebagai tarikh sebutan.

Nhaveen dibuli dan diseksa sekumpulan lelaki hingga mati otak, selain kecederaan lain dan dirawat di Hospital Pulau Pinang sebelum meninggal dunia 15 Jun lalu.

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*