Saya Kembali Kerana Chong Wei – Misbun

Share This:

Legenda badminton negara, Datuk Misbun Sidek mengakui kepulangannya ke dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selaku ketua jurulatih perseorangan negara adalah di­sebabkan oleh Datuk Lee Chong Wei.

Sambil menyifatkan sudah melupakan segala permasalahan yang pernah berlaku sebelum ini, Misbun memberitahu, dia tidak mampu untuk menolak pujukan Chong Wei yang begitu bersungguh-sungguh mahukannya kembali bersama BAM.

Katanya, selepas mendengar pelbagai keluhan yang disampaikan selain kesungguhan yang ditunjukkan jaguh utama negara itu ketika bertemu dengannya membuatkan hatinya terbuka untuk kembali ke pangkuan BAM.

Selain itu, dia juga ada bertemu dengan Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria untuk berbincang dan akhirnya memberikan persetujuan secara lisan.

“Memang saya akui Chong Wei adalah sebab utama saya kembali menyertai BAM, banyak kali dia datang bertemu saya dan dia benar-benar berharap kepada saya.

“Banyak kali dia datang, tujuh atau lapan kali datang berjumpa saya. Apabila anak sudah minta tolong, sudah pasti bapa akan tolong.

“Jadi saya terima permintaannya kerana dia sudah macam anak saya, saya nampak kesungguhannya dan atas sebab itu saya terima,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Hulu Klang, dekat sini hari ini.

Misbun mengakui, sebelum ini berlaku salah faham antara dirinya dengan pihak pengurusan BAM yang membuatkan dia memberikan laluan kepada orang lain untuk membimbing Chong Wei.

Katanya, meskipun sudah enam tahun meninggalkan BAM sejak 2011 namun dia melihat Chong Wei masih lagi menggunakan ilmu yang ditinggalkannya sebelum ini tetapi prestasinya kini turun naik.

“Sebelum ini saya tinggalkan BAM dan beri laluan kepada orang lain untuk melakukan yang lebih baik daripada saya dan dua Sukan Olimpik sudah berlalu tetapi tetap sama.

“Mungkin Chong Wei mahu saya kembali kerana mahukan ilmu penghabisan daripada saya dan mahu menamatkan kariernya bersama saya,” katanya.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan pelantikan Misbun sebagai ketua jurulatih perseorangan BAM dan dia akan dibantu oleh Hendrawan, Indra Wijaya serta Sairul Amar Ayub.

– Utusan

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*